S'gor minta RM9.9 juta wang Balkis dipulangkan

Kerajaan negeri Selangor meminta Jabatan Insolvensi memulangkan RM9.9 juta dana milik Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) kepadanya.

Ini kerana dana tersebut merupakan hasil sumbangan agensi-agensi kerajaan negeri, kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Ahmad.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Selangor telah menulis surat rasmi kepada jabatan tersebut untuk mendapatkan kepastian mengenai kedudukan dana dana RM9.9 juta milik Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis).

Surat bertarikh yang bertarikh hari ini (6 April) itu dihantar melalui pejabat peguam yang telah dilantik.

Dalam surat itu, katanya, kerajaan negeri antara lain meminta pengesahan jika benar jabatan tersebut sedang mengendali dana tersebut.

Minggu lalu, pegawai Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Selangor, Puan Tairah Yusof telah memberitahu siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupyaan Kebertanggungjawab dan Ketelusan (Selcat) bahawa wang tersebut sedang dikendalikan oleh Jabatan Insolvensi.

"Jika benar dana tersebut adalah dalam pengendalian Jabatan Insolvensi Malaysia, (maka) kerajaan negeri Selangor meminta agar dana tersebut diberi dan diamanahkan kepada pihak kerajaan untuk tindakan sewajarnya.

"Perlu ditegaskan di sini, kerajaan negeri Selangor mempunyai tanggungjawab terhadap dana RM9.9 juta tersebut memandangkan dana tersebut adalah, antara lain, hasil sumbangan agensi-agensi kerajaan negeri," katanya.

Tambahan pula, tegas Nik Nazmi, mengikut nasihat undang-undang yang diberi kepada kerajaan negeri, pembubaran Balkis adalah salah di sisi undang-undang.

Kerajaan negeri Selangor berharap Jabatan Insolvensi akan bersikap profesional dalam mengendali kes ini dengan memberi pengesahan yang diperlukan secepat mungkin.

 -malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan