Umno Terima Padah Isu Sembah Derhaka


   

Umno dan Barisan Nasional mula menerima padah akibat memainkan isu derhaka Sultan untuk menyerang PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil parlimen Bukit Gantang. 

Serangan yang dianggap tidak berasas sama sekali dan melampau mula memakan diri sendiri apabila masyarakat terutama pengundi Melayu mula ingin tahu benarkah Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin derhaka kepada Sultan.

Sebelum ini sikap mereka bulat-bulat termakan dakyah Umno dan BN berhubung isu derhaka yang dipropagandakan melalui semua saluran media cetak dan elektronik milik mereka.

Mulai beberapa hari menjelang hari mengundi 7 April depan, pola pemikiran pengundi-pengundi Melayu yang sebelum ini menjadi mangsa rekacipta Umno sudah mula berubah ke arah mencari titik kebenaran dalam isu ini.

Kebanyakan pengundi Melayu di negeri Perak khususnya di Bukit Gantang tidak mengetahui secara mendalam mengenai isu "sembah derhaka" yang dimainkan oleh media kawalan Umno.

Walaupun ramai yang tidak mempercayai sosok Datuk Seri Mohammad Nizar sebagai penderhaka namum Umno berjaya memainkan sentimen perkauman menyebabkan rakyat pada peringkat akar umbi terpengaruh.

Strategi ini dilakukan bagi memberi imej buruk kepada calon Pakatan Rakyat dan menanam keraguan dihati rakyat mengenai ketaatan dan kesetiaan Pakatan Rakyat terhadap institusi raja.

Apatah lagi keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang membangkitkan isu krisis perlembagaan perak disamping pembunuhan wanita Monggolia Altantuya Shaariibuu bertujuan menghalang Pakatan Rakyat memberi penjelasan yang sebenarnya kepada rakyat.

Namun pemimpin Pakatan Rakyat sudah mencium sejak awal taktik kotor Umno dan BN ini dan langsung tidak menghiraukan arahan tersebut yang dianggap melucukan serta mengekang kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan Negara.

Umno amat bimbang rakyat akan mengetahui kedudukan sebenar kedua-dua isu ini maka dibuat larangan yang tidak masuk akal itu.

Pengarah Pilihan Raya PAS Perak, Asmuni Awi dalam sidang hariannya kelmarin berkata, "saya yakin mereka ambil tindakan ini kerana langkah membangkitkan isu-isu ini menguntungkan pihak kami dan mereka merasakan berhadapan dengan masalah.

Beliau berkata pihak berkuasa sebenarnya mempunyai peruntukan perundangan yang cukup seperti Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan jika ada pihak yang membuat kenyataan yang berunsur fitnah atau tidak berasas.

Umno menggunakan sentimen Datuk Seri Mohammad Nizar bagi meraih undi dan ini dapat dilihat kain rentang yang dipasang merata Bukit Gantang untuk menaikkan kemarahan rakyat.

Taktik ini akhirnya melantun pada muka Umno dan BN sendiri apabila rakyat mula mempersoalkan kebenaran tuduhan Umno tersebut.

Usaha Pakatan Rakyat untuk menangani tohmah ini melalui penyebaran risalah yang menerangkan keadaan dan kedudukan sebenar telah mula menampakkan hasil yang positif.

Umno dan BN di Bukit Gantang kini sudah kehilangan modal kempen untuk menjatuhkan calon Pakatan Rakyat dan mulai dijauhi oleh pengundi di kawasan ini.

Seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Mohammad Nizar yang diangkat oleh Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Bendahara Tun Perak zaman moden pilihan raya kecil Bukit Gantang 7 April ini adalah majlis talkin dan pengkebumian Umno dan BN.

 -TVAntara.com.my-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan