Bila mak berkunjung ke rumah

Ahmad Tajdid

Ayah dan ibu
itulah permulaan kami
dapat melihat
bulan dan matahari.

Yang dikurniakan
dari Ilahi
ayah dan ibu
mestilah dihormati.

Ayah dan ibu
wali keramat
pada mereka kita beri hormat
dapatkan tunjuk ajaran nasihat
semoga hidup
kita jadi selamat...

Lirik lagu R Azmi di atas pastinya meruntun perasaan semua manusia yang bergelar anak. Jika tidak benar-benar cekal semangat, lagu itu sukar didendangkan kerana pasti kita mudah sebak lantaran bait-bait katanya yang menyentuh perasaan.

Ketika artikel ini ditulis, mak saya buat pertama kalinya hadir di rumah. Bukan mudah untuk memujuk mak untuk bermalam di rumah kerana ingatannya pasti melayang kepada rumah kediaman yang ditinggalkan; jiran, pokok bunga, kucing, surau dan apa-apa saja yang terlintas di kotak pemikirannya.

Selepas abah meninggal dunia hampir lima tahun lalu mak memang tinggal sendirian. Memang ada adik beradik yang tinggal setaman, tetapi mereka juga sibuk dengan urusan keluarga masing-masing. Sesekali atau tiap-tiap hari mereka datang menjengok. Ada juga yang datang untuk menjengah mak, tak kurang juga yang mohon bantuan... apa-apa sajalah...

Kesempatan bersama mak diluangkan sebaik mungkin. Saya sengaja ponteng hadir ke satu mesyuarat penting syarikat kerana sudah berjanji dengan mak untuk membawanya bersiar-siar.

Pada suatu petang mak menunjukkan buku-buku akaunnya - Tabung Haji, BSN, ASB. "Hai... jalan jauh pun mak bawa semua nii...," soalku.

"Cuba tengok berapa bakinya," pinta mak.

Aku pun mengira... Alamak semuanya ada lebih RM17,000 tak termasuk seribu duit tunai.

"Duit tunai ni aku nak guna pasang aircond kat bilik aku bila balik nanti. Nanti budak Sopam tu balik bawa anak dia masa cuti sekolah aku nak suruh dia guna bilik tu. Anak dia tu tak boleh panas," jelasnya.

Sopam ialah adik perempuanku yang bertugas di Ipoh.

Aku mengeleng-ngelengkan kepala. Dengan RM1300 pencen arwah abah, mak boleh berjimat dan menabung.

"Aku cadang nak pergi humrah (umrah). Tapi tak tahu nak pergi dengan siapa. Kalau ikut orang susah, nanti kena tinggal," katanya.

Mak sebenarnya bukan asal orang senang. Ibu bapanya meninggal dunia sejak usianya belum mencecah mumaiyiz. Dia dipelihara seorang emak saudara manakala adik dan abangnya dipelihara emak saudara yang lain.

Mak bertemu jodoh dengan abah, guru sandaran bergaji kecil yang akhirnya diserap sebagai guru tetap di penghujung tempoh perkhidmatannya.

Kami berlapan beradik. Dengan gaji abah yang tak seberapa, mak berusaha mencari pendapatan sampingan. Jual kuih dan sebagainya. Tapi menguruskan lapan orang anak yang kecil-kecil dan lahir berurutan tahun bukan satu perkara mudah.

Tapi mak cekap menjalankan tugasnya. Makan minum kami ringkas. Pagi sebelum ke sekolah cekodok atau lempeng. Tengahari nasi berlauk tunggal dihidang dalam pinggan ayan. Bila cuti sekolah, menu kerap kali berubah. Kuih koci, bingka ubi, apam balik dan sebagainya. Sesekali mak masak sesuatu yang istimewa terutama jika ada saudara datang berkunjung.

Cuma satu yang masih kukenang hingga kini adalah 'kemahiran' mak menabung. Tabungannya tidak diketahui suami dan anak-anak.

Pernah suatu hari, ketika aku masih kecil, mak mengajakku pergi ke pasar Melaka. Tujuh batu jaraknya dari rumah kami. Ketika menunggu bas tiba, mak cik Enon menegur. "Wah berbelanja sakan kau Simah, sampai ke Melaka!" tegurnya dari seberang jalan.

"Taklah... ni ada tiga ringgit aje dalam poket. Nak beli ikan," jawabnya.

Aku terperanjat beruk... "Ai! Tiga ringgit nak makan apa. Tambang bas pun dah lima puluh sen. Pergi balik seringgit," ujarku mengira-ngira.

Aku kasihan tengok mak. Cukup ke duit nak belanja nii...

Setibanya di pasar Melaka mak pun membeli belah. Beli ikan kembung, sayur dan barang-barang lain. Syukurlah duit mak cukup.

Mak kemudian membawaku makan sate dekat gerai di pasar lama itu. Hatiku berdetik... "Eh! Ada ke duit lagi nii... tadi dah beli macam-macam."

Kulihat mak macam tak perasan duitnya hampir habis. Berselera sungguh dia makan sate. Aku cuma makan secucuk sate kerana risaukan duit yang hampir habis. Mak hairan kenapa aku tidak berselera.

Dalam keadaan tertanya-tanya, mak memanggil wak sate dan bertanyakan harga sate yang kami makan. Lantas mak mengeluarkan dompet kecilnya. Tatkala itu kulihat dalam dompet mak terdapat segumpal wang kertas berwarna merah. Rupa-rupanya mak ada duit. Saja disorokkan dari pengetahuan orang lain termasuk aku.

Penyesalan menyelinap... menyesal tak makan sungguh-sungguh. Apatah lagi sate, makanan kegemaranku yang selalunya kami sekeluarga kecapi setahun sekali ketika beramai-ramai menaiki kereta sewa untuk membeli baju raya di bandar Melaka.

Melihat mak banyak duit, aku mula buat perangai. Minta itu dan ini. Mak ikutkan aja. Mungkin gembira lihat aku kembali berselera.

Itulah sekelumit cerita masa kecilku.

Kini setelah dewasa dan berkeluarga, kisah-kisah silam menyebabkan aku bertambah kasih kepada dua orang tuaku.

Ayahku berpesan dalam surat wasiat terakhirnya buat anak-anak: "Jagalah baik-baik bondamu kerana dia tidak berpelajaran dan 'buta kayu'."

Mungkin bunyinya kasar, tetapi itulah hakikatnya. Mak tidak pandai membaca. Kemiskinan menyebabkan beliau tidak dihantar ke sekolah. Memang ada guru yang datang ke rumah memujuk nek Putih menyekolahkannya. Jawab nenek: "Dio budak betino. Tak payah sekolah. Dapo tuu tompek ehh... Sampai maso kawinlah dio. Nak mengaji tinggi-tinggi buek apo?"

Cuma satu kemahiran mak, dia pandai mengira. Walaupun buta huruf, mak tahu berapa jumlah duit di tangannya.

Pagi tadi aku membawa mak membeli sarapan di sebuah gerai di kediamanku.

Sedang aku menyeluk poket untuk membayar, dia menghalang. "Tak payah, mak nak tukar duit kecil," katanya sambil menghulurkan nota RM50 kepada tuan punyai gerai.

Aku tersenyum sendiri. "Mak dah kaya sekarang...," bisik hatiku.

-harakahdaily-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan