Haron Din sifatkan selsema babi suatu musibah kepada ummat kini



TIMBALAN Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menyifatkan wabak penyakit selsema babi atau influanza H1N1 yang melanda negara sekarang ini sebagai satu musibah.

Katanya, H1N1 memanglah satu musibah daripada Allah untuk terus-menerus mengingatkan manusia sepertimana yang disebutkan Allah dalam al-Quran yang bermaksud; "andainya berlaku turunnya bala daripada kami (Allah) lalu mereka merendahkan diri, mereka akan mendapat pengajaran dan kebaikan. Tetapi malangnya manusia kerasnya hati mereka dan enggan mengambil pengajaran kerana syaitan telah menguasai diri mereka."

Beliau juga menjelaskan mengenai istilah musibah menurut al-Quran dan hadis nabi s.a.w. Terdapat tiga istilah yang berkaitan dengan musibah iaitu bala', ibtila dan musibah di dalam al-Quran yang mana ia merujuk kepada suatu bencana yang berlaku dalam alam manusia sama ada yang diketahui puncanya atau tidak.

Tambah Ustaz Haron ketika dihubungi, kesemua bencana yang ditimpakan itu disebut dalam al-Quran yang bermaksud; "dan apa sahaja bencana (musibah) yang mengena manusia itu adalah akibat dosa yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia."

Demikian juga dengan satu lagi ayat al-Quran yang bermaksud; "akan zahir atau berlaku kerosakan (fasaad) di daratan dan di lautan antara perbuatan manusia berlaku bencana itu kerana Allah hendak manusia merasakan sedikit daripada bencana kemurkaan Allah. Moga-moga mereka insaf dan kembali mentaati perintah Allah".

Malah tambahnya lagi, terdapat banyak ayat al-Quran yang mengisahkan perihal umat-umat terdahulu, apabila mereka menolak perutusan rasul mengajak mereka menyembah Allah dan menerima Islam sebagai cara hidup tetapi mereka enggan.

"Maka Allah telah balakan kepada mereka dengan pelbagai bala. Apabila bala berlaku ianya tidak terkena kepada yang derhaka kepada Allah sahaja tetapi kepada semua manusia sama ada baik atau jahat," katanya lagi.

Oleh kerana itu ujarnya, istilah bala dirujuk kepada musibah yang dikenakan ke atas orang-orang yang ingkar.

"Jika ia terkena kepada orang-orang soleh atau taat maka ia dipanggil ibtila' untuk kaffarah atau membersihkan diri mereka daripada dosa sebelum menempuh hari akhirat, yang bermaksud di dunia mereka beroleh kebaikan dan di akhirat mendapat keampunan dari Allah," ujarnya lagi.

Mengulas mengenai fenomena wabak influanza H1N1 lagi, Ustaz Haron berkata ia merupakan penyakit yang tidak dikenali sebelumnya, dan tidak diketahui ubat atau vaksinnya.

Inilah yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bazzaz dan Ibnu Majah yang bermaksud; "andainya berlaku perkara-perkara keji secara terang-terangan dan dihebah-hebahkan pula kepada orang ramai seolah-olah membanggakan diri melakukan perkara keji itu maka Allah akan menghantar kepada mereka penyakit yang tidak diketahui oleh orang-orang sebelum mereka."

Menurutnya, hal tersebut mempunyai hubungkait dengan kejahatan manusia yang melawan hukum-hukum Allah. Mereka tegasnya, pasti akan mendapat balasan daripada Allah dan balasan itu walaupun boleh dikatakan sebagai satu denda atau hukuman tetapi ianya membawa pengajaran.

"Tujuan Allah mengenakan ke atas mereka musibah itu adalah sebagai peringatan kepada insan sejagat," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan