Janganlah Ghairah Hendak Bertanding

Oleh: Insan Berguna

IB ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada beberapa pemimpin PAS yang telah menarik diri dari bertanding pelbagai jawatan dalam parti. Kewajaran tindakan mereka amatlah tepat demi memelihara perpaduan parti dan juga keutuhan parti yang meneraju nilai-nilai Islam.

Melihat senarai calon yang agak panjang pada mulanya mengusarkan IB. Mungkinlah ada penyokong-penyokong mereka yang mencalon serta menggesa mereka untuk bertanding, namun yang amat penting ialah mereka perlu mengukur diri mereka sendiri dengan sebenar-benarnya. Janganlah jawatan direbut sama sepertimana perebutan jawatan dalam parti-parti lain.

Janganlah kita menepati Hadith Tarmidzi tentang tanda-tanda akhir zaman yang berhaknya turun bala’ yang antaranya menyebut “amanah menjadi perebutan dan pendapatan“. IB yakin kesemua calon atau ba kal calon PAS amat arif ilmu agama dan faham tuntutan syariah dan amanah yang bakal dipegang.

Teringat IB ketika bersama dengan seorang yang berjawatan tinggi di sebuah jabatan agama negeri yang sudah bergelar datuk dan tidaklah menyokong parti PAS. Dalam satu majlis yang kecil kami bertemu secara tidak formal itu akhir masuk waktu Isyak, maka beliau pun mengajak untuk solat bersama. Maka sekalian kami pun bersedia dengan kadar sederhana di ruang yang ada.

Sememangnya memandangkan jawatannya, kami menolak beliau ke depan menjadi imam. Sesudah solat dan meneruskan perbincangan dan akhirnya bersurai, seorang pakcik yang agak berumur dan menaiki sama dengan kenderaan IB, bertanya akan siapa yang mengimami solat (kerana pada awalnya tidak diperkenalkan).

Setelah diperjelaskan siapa dan jawatannya, pakcik tadi beristighfar panjang. Apa nak jadi? Kalau beginilah ketua institusi agama tersebut memimpin solat maka tidaklah dapat dianggarkan bagaimana pula pentadbirannya.

Bayangkan kalau begitulah amalan kepimpinannya dalam solat ianya mungkin mengambarkan ceteknya ilmu agamanya. Dan jika ceteknya ilmu ag amanya bagaimana beliau dapat menaiki tangga perjawatan dalam agensi kerajaan sehingga memegang tampuk tertinggi dalam pentadbiran agama? Takkan sepanjang 30 tahun kerjanya ketua-ketuanya sebelum ini tidak dapat menilai kredibiliti kerja seseorang kakitangan kerajaan?

Yang sedihnya bagi IB, dalam ketika kami masih serius berbincang isu umat, sempat beliau bercerita perihal bermain kuda dan menceritakan permainannya beberapa hari sebelum itu dengan beberapa pemimpin lain dan permainan yang akan disertai beliau dalam masa terdekat. Perbualan melencong seketika kerana masing-masing terikut rentak pengarah tersebut.

Mungkin kisah yang IB sebut ini tidak begitu tepat dengan suasana pemilihan jawatan dalam parti PAS, namun apa yang ingin IB bawa dari awal tadi ialah kita wajar mengukur diri sebelum sanggup memikul amanah dan janganlah dianggap amanah dan tanggung jawab tersebut sebagai suatu perebutan bagaikan ghanimah.

IB yakin, pengarah tersebut rasa dirinya layak sepertimana juga ramai calon yang ingin bertanding dalam jawatan parti PAS. Namun tanyalah diri sebenarnya dan ingatlah hadith riwayat Tarmidzi yang membicarakan tanda mustahiq (berhak) turunnya bala’.

http://ibrahimbaba.wordpress.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan