Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah dan enam lagi telah dipecat dari PPP oleh majlis tertinggi (MT) parti itu petang ini. Kesemua mereka gagal hadir di prosiding jawatankuasa disiplin parti itu pada jam 2 petang tadi di ibupejabat PPP di Kuala Lumpur. Mereka ialah ketua PPP Selayang, K Tanggaraju; exco Pemuda S Kanesan; S Saravanan, Jeyaratnam Manium dan bekas anggota MT, R Rajandran dan NA Shanmuganathan. Mereka merupakan penyokong Murugiah, yang juga anggota MT, dan menjadi semakin popular selepas dilantik sebagai timbalan menteri Jun lalu. Mereka dipecat kerana didakwa terbabit dalam satu sidang media yang dipengerusikan oleh Shanmuganathan yang mendakwa parti itu hampir dibatalkan kerana gagal mematuhi syarat yang dikenakan oleh Pendaftar Pertubuhan. Tiga daripada mereka yang dipecat - Jeyaratnam, Rajandran dan Kanesan - adalah pembantu Murugiah di JPM. Rajandran dan Kanesan telah digantung keanggotaan mereka awal ini kerana masalah disiplin sehingga Mei 29. Tindakan terbaru pucuk pimpinan itu dijangka melebarkan lagi ketegangan antara Presidennya, Kayveas dan penyokong Murugiah menjelang pemilihan parti itu pada 7 Jun depan. Pemecatan mereka diputuskan oleh majlis tertinggi PPP yang juga bertindak sebagai jawatankuasa disiplin parti itu. -malaysiakini- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan