Kerajaan BN Belanja Berbilion, Rakyat Terpaksa Ikat Perut

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim membidas sikap tidak bertanggungjawab kerajaan Barisan Nasional yang berbelanja berbilion ringgit secara culas menggunakan dana awam pada ketika rakyat berhempas pulas untuk berjimat cermat dan bimbang mengenai kos sara hidup dan masa depan mereka.

Dalam kenyataan beliau yang disiarkan dalam blognya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga mengkritik sikap sambil lewa yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Najib Razak dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) yang kosnya telah melambung melebihi RM7 billion daripada harga asal iaitu RM1.96 billion.

"Sikap Kerajaan Malaysia yang mengabaikan prinsip tadbir urus dan pertanggungjawaban amatlah membimbangkan. Pada ketika rakyat Malaysia terpaksa berjimat cermat dan resah samada pendapatan mereka mampu menanggung sara hidup, kerajaan kita pula terus menerus mencurahkan ribuan juta dana awam secara culas.

"Pendirian sambil lewa Umno di dalam menangani skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang memperlihatkan sikap sebenar mereka yang sanggup menggadaikan kepentingan negara terutama apabila kecurangan itu membabitkan ahli parti tersebut. Kaedah kes itu ditangani mendedahkan sikap hipokrit mereka yang bertanggungjawab menyiasat skandal tersebut dan juga kes politik wang yang berlaku dalam umno. Kita melihat wujudnya pendakwaan terpilih terhadap mereka yang dianggap sebagai musuh pentadbiran Dato’ Sri Najib Razak.

"Kerajaan mendabik dada kononnya sudah ribuan juta diagihkan dari kantung dua Pakej Ransangan Ekonomi tersebut. Namun tidak ada maklumat yang disediakan buat tatapan serta penelitian umum berhubung proses pemberian tender kerajaan. 

"Ini membuatkan rakyat beranggapan pakej tersebut tidak memberi kesan kepada mereka dan menimbulkan rasa sangsi kepada kita bagaimana ekonomi akan pulih sekiranya dana yang ada hanya untuk kepentingan syarikat milik kroni pemerintah," kata Ketua Pembangkang itu.

Tambah beliau ketidakcekapan dan pembaziran merupakan ciri utama birokrasi kewangan negara di bawah BN manakala dasar monopoli akan menghambat sebarang hasrat untuk memulihkan kedudukan ekonomi Malaysia dan program liberalisasi akan terbantut kerana tidak ada kesungguhan untuk melaksanakan perubahan.

"Sehingga kini tidak ada sebarang perancangan jelas untuk melaksanakan perubahan serta memulihkan ekonomi negara seperti mana yang dijanjikan. Kenyataan oleh Perdana Menteri bahawa negara kita akan pulih menjelang akhir tahun menimbulkan persoalan dan tanda tanya. Ini adalah kerana Perdana Menteri pada ketika yang lain, menyatakan bahawa ekonomi negara kita bergantung kepada Amerika Syarikat dan Eropah; yang mengakui ekonomi mereka hanya akan pulih menjelang tahun 2010.

"Minggu ini Bank Negara mengesahkan apa yang perkatakan oleh rakyat Malaysia-kecuali menteri kewangan- selama lapan bulan ini. Negara ini diambang kemelesetan. Kadar pengangguran akan mendadak naik dan kilang akan lebih banyak ditutup. Berkemungkinan setengah juta orang akan kehilangan kerja. Pertumbuhan untuk tahun 2009 diunjurkan kepada negatif 5%(-5%), kedudukan eknomi terburuk sejak krisis kewangan terbaru," tegas Anwar lagi.

Beliau menyatakan hanya pemimpin yang berani dan menentang rasuah dan amalan kronisma mampu menangani krisis kegawatan ekonomi namun malangnya ini bukanlah sifat yang ada pada pentadbiran BN sekarang.
-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan