ROS siasat segera 'dua presiden' PPP |
Pendaftar Pertubuhan (ROS) akan menyiasat segera status mesyuarat agung luar biasa PPP yang menimbulkan krisis "dua presiden" parti komponen BN itu. Pendaftar Pertubuhan, Datuk Md Alias Kalil dipetik berkata laporan siasatan akan diserahkan kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak sebelum mesyuarat agung PPP, 7 Jun ini. Perdana menteri semalam mahu menyemak status PPP sebelum bersedia hadir merasmikan perhimpunan parti tersebut. "Kita sedang siasat. Kena buat secepat mungkin. Seperti yang perdana menteri mahukan perkara itu diselesaikan dengan segera," katanya kepada Bernama hari ini. Md Alias berkata pihaknya bukan sahaja perlu mengkaji daripada segi undang-undang berhubung kemelut dalaman PPP itu tetapi juga perlu mendapatkan maklumat lain sebelum membuat keputusan. Mengenai Presiden PPP Datuk M Kayveas yang mahu menemui ROS hari ini bagi menyerahkan beberapa dokumen mesyuarat tahunan parti yang hilang, Md Alias berkata beliau hanya tahu mengenainya di dalam akhbar. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kenyataannya semalam berhubung status Kayveas yang masih kekal presiden PPP dengan alasan telah memberi penjelasan terperinci. Semalam, Md Alias berkata ketika ini Kayveas masih kekal presiden sah PPP selagi ROS belum membuat keputusan mengenai siasatan membabitkan dakwaan Kayveas dan penentangnya yang dipecat Datuk T Murugiah bahawa masing-masing presiden PPP. Md Alias dipetik berkata, semua jawatan dalam PPP bersifat status quo dan tiada masalah bagi parti itu untuk mengadakan mesyuarat agung tahunannya pada awal bulan depan. Ahad lepas, Murugiah yang juga timbalan nenteri di Jabatan Perdana Menteri dipilih sebagai presiden baru dalam satu mesyuarat agung luar biasa parti yang diadakan di Putrajaya. -malaysiakini- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan