Makin dekat! Umno juga bakal diusung keluar dari Dun Perak seperti Sivakumar diangkut keluar! - Abdul Rahman Hashim

SAYA terperanjat dengan insiden kebudak-budakan yang disandiwarakan oleh juragan-juragan UMNO di DUN Perak semalam, sehingga mereka tidak sedar pementasan ALA KUDETA ini sebenarnya bakal menjerat leher UMNO yang semakin alergik dari kaca mata rakyat terbanyak di negeri Datuk Maharaja Lela ini, tulis Exco Umno Bahagian Setiawangsa, Abdul Rahman Hashim pada blognya locengwangsa.

Ingatlah, majoriti rakyat di negeri 'Tok Sagor' ini sudah pun membuat keputusan menolak UMNO/BN semasa diadakan PRU12 yang lalu, sehingga saya tak percaya benarkah negeri kelahiran saya (Perak) sudah jatuh ke tangan pembangkang pada masa itu?

Bukan itu sahaja, saya juga menjadi kalimayo setelah UMNO mendabik dada berkuasa semula di negeri ini, tetapi tidak mampu hendak menyekat penolakan rakyat terbanyak terhadap UMNO/BN dalam pilihan aya kecil di Parlimen Bukit Gantang tempoh hari. Apa jua hujah yang dialaskan oleh Zambry tentang kekalahan partinya di Bukit Gantang, jelas menampakkan tanda aras majaroti rakyat negeri Perak telah menolak kepimpinannya.

Melihatkan keadaan tegang yang berlaku di DUN Perak semalam, saya menjadi semakin tidak percaya benarkah UMNO sudah menjadi desperado sehingga sanggup mengenepikan keluhuran undang-undang yang dijunjung demi untuk merampas kuasa untuk menjadi 'penguasa' yang dibenci rakyat?

Tahukah betapa tindakan yang tidak bersopan ini bukanlah satu teladan yang baik yang boleh mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO/BN, sebaliknya tindakan mengusung speaker Sivakumar keluar dari dewan bakal mengundang kebencian rakyat yang akan menghukum kita (UMNO) dalam PRU13 nanti?

UMNO berjenama 786 di Perak ini berada dalam tanda aras bahaya sekarang ini. Kuasa yang dirampas tidak sekuat mana pun, bila-bila masa kuasa kudeta ini akan diruntuhkan akibat tindakan yang tidak strategik yang dilakukan oleh pemguasa-penguasa yang rakus ini. Dr. Mahathir sendiri konsisten dengan pendapatnya betapa UMNO tidak cermat dan terlalu gopoh untuk mengembalikan kuasa di negeri yang telah menolak UMNO/BN ini.

Golongan muda yang kini bakal mendominasi peti-peti undi sedang asyik memerhati gelagat UMNO ini, dan tentunya mereka semakin pelik untuk mempercayai kewajaran 'parti tertua' ini bertindak ala membabi buta yang bakal menjahanamkan diri.

Saya terasa malu kerana ketegangan politik di negeri Perak ini telah tercetus akibat kegelojohan penactur-pencatur UMNO negeri ini yang dilihat tidak cermat mengendalikan isu sehingga kita ditertawakan, kerana hanya Perak sahaja yang mempunyai dua MB, dua speaker dan dua set barisan exco negerinya. Inilah akibatnya orang yang gila talak sedang memegang kuasa yang bakal dihina oleh rakyatnya sendiri...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan