Murugiah 'perlu periksa mental' - Kayveas

Presiden PPP Datuk M Kayveas menyifatkan Senator Datuk T Murugiah - yang mengisytiharkan dirinya juga presiden parti itu - sebagai "orang yang gila publisiti" dan "perlu diperiksa mental".

Walaupun melemparkan perkataan-perkataan yang keras seperti itu,
Bernama melaporkan, bekas ahli parlimen Taiping itu menganggap kemelut perebutan kuasa itu seperti "ribut di dalam cawan teh".

Sambil menegaskan beliau masih presiden sah PPP, Kayveas menambah: 

"Perhimpunan yang berlaku itu tidak sah dan saya tidak mahu komen lagi tentang orang yang gila publisiti, tamak dan mengisytiharkan diri sendiri, dia telah dipecat daripada parti.

"Dia boleh buat apa yang dia mahu tapi kami masih menunggu rayuan dia (Murugiah) sehingga 30 Mei berhubung pemecatannya." 

Kemelut politik PPP kelihatan semakin meruncing apabila satu perhimpunan tergempar diadakan di Putrajaya semalam yang didakwa dianggotai 1,760 perwakilan dari 778 cawangan parti itu.

Selain memilih Murugiah - juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) - sebagai presiden baru, mesyuarat itu juga membuat beberapa resolusi, antaranya, membatalkan pemecatan terhadapnya seminggu lalu dan turut memecat Kayveas daripada PPP.

Mengulas perhimpunan tersebut, Kayveas berkata pada asalnya ia hanya perjumpaan biasa sebelum Murugiah menjadikan perjumpaan itu sebagai perhimpunan tergempar PPP.

"Kurang daripada 10 peratus yang hadir semalam adalah ahli PPP, baju pun dipinjamkan, tak tahu dari mana (mereka yang hadir).

"Anda perlu pemilihan yang betul untuk mengundi bagi presiden parti, bukan setakat buat perhimpunan dan memanggilnya sebagai perhimpunan agung luar biasa," katanya seperti dilaporkan agensi berita itu.

Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu mencadangkan musuh politiknya itu menubuhkan sebuah parti baru dan mengangkat dirinya sebagai presiden parti tersebut.
daripada terus menimbulkan pelbagai masalah kepada parti itu.

"Saya cabar dia, kenapa kacau PPP, jika dia begitu bagus, buat satu parti lain untuk satukan orang India.

"Sebelum ini dia (Murugiah) jumpa ROS ((Pendaftar Pertubuhan), dia dah minta ROS batal parti ini, ROS tak layan dia, tiba-tiba dia dilantik sebagai presiden, itu sah? 

"Dia kena periksa mental dia di (hospital) Tanjung Rambutan," kata Kayveas selepas menghadiri perhimpunan agung tahunan PPP
Pahang di Kuantan hari ini.

Perhimpunan itu dirasmikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Mohd Sharkar Shamsudin yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Menurut 
Bernama lagi, Kayveas berkata PPP juga sedang mengenal pasti anggota-anggota yang hadir di perjumpaan tersebut dan  akan diberikan surat tunjuk sebab.

Mengenai Perhimpunan Agung PPP ke-56, Kayveas berkata ia tetap akan berlangsung seperti yang dijadualkan pada 7 Jun depan, dan menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikannya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan