Najib bawa BN ke hujung senja

Zuharman MN  

KOTA BHARU, 21 Mei (Hrkh) - Keengganan Umno bertanding pada pilihan raya kecil Dun Penanti pada 31 Mei ini memberi ruang cukup besar pelbagai pihak memperlekehkan kepimpinan Dato' Seri Najib Razak.

Ternyata presiden baru Umno mahu menongkah arus. Mencipta seberapa banyak kejutan.

Biar apa sekali pun alasan yang dipertahankan, ternyata keputusan Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding membuktikan kelemahan parti tersebut sebelum bertarung.

Menyerah kalah sebelum masuk gelanggang. Bukankah pemimpin Umno dan BN sebelum sering menguar-uarkan tanpa mereka rakyat Malaysia tidak dapat hidup aman.

Namun berdasarkan kepada apa yang berlaku Isnin lalu ia menggambarkan Umno dan BN bukanlah sebuah parti yang kuat sebagaimana diagung-agungkan selama ini.

Hari ini ia kelihatan bukan lagi satu keputusan luar biasa. Kekhuatirannya menghadapi pilihan raya bermakna dalam diam BN menerima hakikat kelemahan partinya mendapat sokongan rakyat.

Peluang makin cerah

Bagaimanapun bagi Pakatan Rakyat (PR), sama ada BN akan bertanding atau tidak, keyakinan rakyat terhadap Pakatan tidak mampu ditolak lagi. Dan sekarang peluang memenangi Penanti tambah cerah.

Pilihan raya kecil Dun Penanti diadakan berikutan Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti KeADILan Rakyat meletakkan jawatan 16 April lalu.

Najib mengumumkan BN tidak akan bertanding di Penanti dengan alasan tidak mahu mengikut gelombang dicipta Pakatan Rakyat.

Waraskah dengan kenyataan semudah itu bagi seorang ketua negara. Alasan itu hanya menjadi bahan ketawa orang kampung. Bukankah lebih baik kalau tidak berselindung di balik bayang sendiri.

Sebenarnya momentum sokongan rakyat tidak lagi menyebelahi parti tersebut.

Inilah alasan paling mujarab. Mungkin juga inilah satu cara Najib ingin menjaga imejnya daripada terus tercalar setelah beberapa episod duka menghantui personalitinya belum selesai.

Sebagaimana kata Pengarah Pilihan Raya KeADILan, Saifudin Nasution Ismail fenomena politik semasa faktor utama BN tidak bertanding di Penanti.

"Krisis politik di Perak dengan perebutan jawatan Menteri Besar masih belum selesai. BN khuatir ianya memberi kesan kepada mereka.

"Najib juga belum yakin dengan kepimpinannya untuk menarik sokongan rakyat di samping tidak berani menempuh kubu kuat Pakatan di Penanti,� katanya.

KeADILan telah lama mengumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr Mansor Othman sebagai calon untuk mempertahankan Penanti.

Inilah julung kali sejarah politik tanah air tidak pernah berlaku tiba-tiba ditempa BN bagi pertontonkan kepada rakyat.

Kata orang tua, tewas di luar gelanggang sebelum bertarung adalah bukan dari kalangan orang yang memiliki semangat perwira. Dan orang-orang seperti ini sebenarnya tidak layak untuk menjadi pemimpin.

Dan hakikat itu amat sinonim dengan Umno sekarang, betapa rapuhnya mereka menjelang usia senja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan