PR Perak Lancar Puasa Sunat/Mogok Lapar Selasa Depan

Pakatan Rakyat Perak akan melancarkan mogok lapar selama tiga hari berturut-turut mulai Isnin depan dalam usaha gerakan rakyat untuk mendesak pembubaran Dewan Undangan Negeri secepat mungkin.

Apatah lagi tekanan rakyat untuk dikembalikan mandat kepada mereka akan bertambah mendesak berikutan keputusan Mahkamah Rayuan memperbaharui lesen Umno dan Barisan Nasional untuk terus menduduki tampuk kerajaan negeri secara tidak sah.

Mogok lapar itu dijangka akan disertai rakyat teramai termasuk umat Islam yang akan mengerjakan puasa sunat bersama-sama demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis, Nga Kho Ming di Pejabat DAP Ipoh pagi semalam.

Nga berkata mogok itu akan bermula pada jam 10.00 pagi hari Selasa 26 Mei dan berakhir pada hari Khamis, 28 Mei pada waktu maghrib di Pejabat PAS Perak. Mereka yang menyertai program itu dibenarkan minum selama setiap 6 jam dan tidak dibenarkan makan dalam tempoh itu sementara bagi umat Islam peraturan puasa akan dipatuhi.

Menteri Besar Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddindan Speaker V. Sivakumar dijangka melancarkan mogok lapar/puasa itu di Ipoh dan turut serta dalam program tersebut.

"Ia akan disertai oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Perak dan pertubuhan bukan kerajaan yang berminat. Mereka yang berminat boleh menghubungi kami (sekretariat)," kata beliau.

Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak berkata, mogok lapar yang diadakan adalah "untuk mendapatkan kembali hak rakyat".

Mereka akan mengadakan mogok lapar di Wisma DAP yang terletak berhampiran dengan Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Pejabat Menteri Besar, Exco dan Dewan Undangan Negeri.
-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan