KOTA BHARU, 14 Mei (Hrkh) - Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand, Thavon Semiam hari ini mengunjungi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapat pandangan menyelesaikan konflik di selatan Thai. Beliau berkata, pandangan Menteri Besar Kelantan supaya diadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat Islam di selatan Thailand akan digunapakai. Malah katanya, sejak Thailand di bawah kerajaan baru diketua Abhisit Vejjajiva sudah berkurangan pertumpahan darah. "Sepanjang empat bulan pertama tahun ini hanya lebih kurang 15 kali sahaja berlaku pertumpahan darah. Sedangkan sebelum ini berpuluh-puluh kejadian huru hara berlaku. "Ini menunjukkan sudah ada persefahaman di antara kerajaan Thailand dengan umat Islam," katanya pada persidangan media selepas pertemuan tersebut yang diadakan di JKR 10. Thavon juga berkata, konsep keadilan sejagat turut menjadi amalan kerajaan Thailand di mana tidak lagi memberi perhatian kepada satu kaum sahaja. Katanya, kerajaan Thai di bawah pimpinan Abhisit amat mengambil berat keselamatan di selatan Thailand dan sentiasa berhubung dengan pimpinan masyarakat Islam di empat wilayah selatan. Sementara itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata beliau tidak layak menjadi orang tengah menyelesaikan konflik di selatan Thailand kerana jawatannya hanya Menteri Besar sebuah kerajaan kecil. "Tetapi untuk memberi nasihat dan pandangan saya sanggup selagi rakyat Thailand ingin menerimanya," kata beliau. Menurutnya, konsep PAS Untuk Semua yang diamalkan di Malaysia sebenarnya seakan sama dengan hasrat kerajaan Thailand yang berada di bawah Raja Siam. Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakub dan seramai 62 delegasi yang terdiri daripada ahli parlimen, Gabenor Wilayah Selatan, pegawai kerajaan dan Jawatankuasa Keadilan Selatan Thai. Menteri Besar Kelantan percaya penyelesaian masalah di selatan Thailand hanya dapat dibuat melalui meja rundingan. Sebelum itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz diberi peluang oleh media Thailand untuk memberi ucapan kepada umat Islam di Thailand. Beliau menasihatkan umat Islam di Thailand menjadikan keamanan sebagai asas dalam kehidupan seharian dan sentiasa berbincang dalam menyelesaikan masalah umat Islam. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan