Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir ditahan polis bagi membantu siasatan kes penghantaran SMS ugutan kepada tiga ADUN Umno bulan lepas yang mencetuskan krisis terbaru di Terengganu. Bekas setiausaha politik Datuk Seri Idris Jusoh ditangkap di satu lokasi di bandar raya ini pada kira-kira pukul 8.30 pagi setelah gagal tampil memberi keterangan berhubung kes itu, lapor Bernama. Polis memberi tempoh tiga hari sehingga petang semalam kepada Ahmad Ramzi untuk tampil memberi keterangan tetapi tidak muncul-muncul sehingga polis mendapatkan waran tangkap. Bercakap kepada pemberita hari ini, Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC II Hamzah Mohd Jamil berkata mereka mempunyai bukti untuk mempercayai Ahmad Ramzi terlibat dengan penghantaran SMS itu. Menurut agensi berita itu, polis turut merampas dua unit komputer riba dan sebuah modem di rumah bekas pegawai kanan menteri besar itu di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu kira-kira 3 petang semalam. Pada 13 April lepas, tiga ADUN Umno: Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) menerima SMS ugutan, antaranya dilaporkan berbunyi "YB tak sayang nyawa?". SMS itu dijadikan alasan 10 ADUN BN termasuk ketiga-tiga mereka SMS itu enggan hadir pada hari kedua persidangan DUN Terengganu pada keesokan hari. Hamzah berkata, dengan penahanan Ahmad Ramzi, yang juga calon BN bagi parlimen Marang, polis yakin siasatan terhadap kes itu sudah 95 peratus selesai. Beliau berkata ahli politik itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk siasatan lanjut dan akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah jika siasatan tidak dapat dilengkapkan dalam tempoh 24 jam. "Sebaik siasatan lengkap, polis akan merujuk kertas siasatan kes ini ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut," Hamzah dipetik berkata. -malaysiakini- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan