Dato' Tuan Ibrahim mahu ahli dan pimpinan rapatkan semula saf, teruskan perjuangan

KUALA LUMPUR: Muktamar Tahunan PAS ke 55 baru berakhir. Kenikmatan berjamaah masih terasa. Bagaimana pertemuan para pejuang Islam disatukan sebentar dalam muktamar indah bagi yang tidak pernah menjadi matlamat menyertai PAS.

Kini saya bermunajat sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Saidina Umar "Ya Allah, Engkau telah bebankan aku dengan bebanan yang berat di dunia, maka ringankanlah bebananku di akhirat".

Muktamar telah berlalu, kepimpinan telah dipilih. Marilah kita menyatukan saf perjuangan bagi menghadapi musuh kita yang satu. Muktamar bagi menyatakan pandangan dan kritikan, telah kita lalui.

Penjelasan dari pimpinan telah pun di buat, ada yang berpuas hati dan mungkin ada yang belum berpuas hati dengan jawapan; bahkan pemilihan pun mungkin ada yang sedih dan ada yang gembira.

Terkadang penyokong lebih bersedih daripada yang bertanding. Namun Islam mengajar kita agar menerima keputusan dengan dada yang terbuka. Jamaah telah buat keputusan. Rasulullah bersabda "Umatku tidak akan sepakat dalam perkara kesalahan" dan "Pertolongan Allah akan datang dengan jamaah".

Selepas muktamar, media masih memainkan isu yang dijangka boleh memecahkan PAS. Kita harus faham sepak terajang media musuh ini. Adalah malang kalau kita yang tahu itu media musuh, tetapi masih percaya kepada berita yang disebarkan oleh musuh.

Seluruh ahli dan pimpinan PAS mesti menjadikan Harakah sebagai media rasmi parti. Sebarang isu yang berbangkit, mestilah dirujuk kepada kenyataan rasmi pimpinan dalam Harakah. Agar kita tidak terjerumus dalam perangkap yang dimainkan oleh musuh.

Kita punya tanggungjawab sebagai gerakan dakwah bagi menyelamatkan rakyat dari kemurkaan Allah. Ruang dakwah menyebabkan kita mesti menarik mereka kepada Islam. Kita tidak seharusnya menutupi ruang dakwah ini.

Kita mempunyai penyokong yang berjuta orang, tetapi sebahagian mereka hanya menjadi pemerhati kepada perjuangan. Kita mesti menarik mereka, agar bersama dalam perjuangan Islam. Kita juga mesti membetulkan sistem yang berjalan dalam negara.

Umno mampu mempertahankan kejayaan kerana sistem yang tidak betul ini wujud. Kita berusaha ke arah tersebut. Namun saya tegaskan bahawa kita tidak akan biarkan jamaah PAS ini menjadi kuda tunggangan Umno/BN. Kita punyai masa depan gemilang dalam Pakatan Rakyat. Kita diterima oleh bukan Islam untuk bersama dengan PAS bukan parti lain.

Ini keyakinan yang perlu kita bina. Kita mestilah mampu mengambil alih kepimpinan Melayu dari Umno dan membawa mereka kepada landasan Islam. Perjuangan kita bukan sekadar menyelamatkan mereka di dunia, tetapi lebih jauh nasib mereka di akhirat; bilamana mereka bertahun-tahun meredai kemungkaran tajaan Umno/BN samada secara sedar atau tidak.

Negara dipimpin oleh pimpinan yang korup. Kita perlu menggantikan dengan kepimpinan yang soleh dan bertaqwa. Yakinlah para pimpinan mengenali siapa Umno lebih dari kita. Pimpinan kita menyedari tipu helah Umno dalam perjuangan mereka yang lama dari kita. Adalah malang seandainya ahli merasa ragu-ragu dengan Presiden dan Timbalan Presiden.

Semua dasar parti di kawal oleh syura dan semua perkara pokok akan diputus dalam Mesyuarat Jawatan Kuasa Pusat. Andai ada yang cuba membawa jamaah ke arah bertentangan, yakinlah mereka tidak akan dapat bertahan lama dalam jamaah, samada jamaah akan meyingkirkannya atau Allah akan mengeluarkan mereka dari jamaah ini - insyaAllah.

Berilah keyakinan dan wala’ pada pimpinan dan awasilah perangkap musuh yang ada di keliling kita. Dan jangan kita menjadi juru cakap musuh dalam jamaah bagi melihat berpecahnya jamaah ini.

Tingkatkanlah hubungan dengan Allah, jadilah sirah Rasulullah s.a.w sebagai asas dalam perjuangan ini. Dan bersabarlah di atas perbezaan pandangan, dan hargailah pandangan yang berbeza yang lahir dari hati yang ikhlas. Rapatilah saf perjuangan, dan gunalah sedikit masa tengah malam dan awal pagi untuk memohon kekuatan dari Allah.

Oleh DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Naib Presiden PAS / Pesuruhajaya PAS Pahang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan