Kes Anwar didengar 22 Jun


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 22 Jun untuk mendengar permohonan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak pendakwaan menyerahkan semua dokumen berkaitan kes liwatnya.

Peguam Anwar, Sankara Nair berkata kes itu akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Rabu lepas, Anwar memfailkan satu notis usul memohon perintah mahkamah supaya pendakwa raya membekalkan segala dokumen dan bahan bukti sebelum perbicaraan kes liwatnya bermula pada 1 Julai.

Walaupun peguam Anwar meminta bahan-bahan kes seawal tahun lalu, Pendakwa Raya masih belum menyerahkan rakaman asal kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian itu di sebuah kondominium di Bukit Damansara dari 25 hingga 27 Jun 2008, sampel DNA, dan kenyataan daripada saksi termasuk pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar memohon kepada mahkamah melepas dan membebaskan beliau dengan segera daripada pertuduhan itu atau menggantung perbicaraan jika pendakwa raya tidak mematuhi perintah mahkamah itu untuk membekalnnya dengan dokumen berkenaan.

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan