Lagi pembantu dakwa didera

"Saya hanya mampu menangis setiap kali dipukul namun saya tidak pernah terfikir untuk melarikan diri kerana saya sangka satu hari dia akan sedar perbuatannya, tetapi saya silap," kata pembantu rumah Indonesia, Modesta Rengga Kaka, 26, yang mendakwa didera majikannya.

Berasal dari Ngamba Deta, Nusa Tenggara Timur, Modesta ketika ditemui
Bernama di Kedutaan Indonesia, Kuala Lumpur berkata dia dipukul oleh majikannya sejak hari pertama bekerja iaitu pada 1 Nov 2007 walaupun kesalahannya terlalu kecil.

Beliau turut mendakwa sering tidak diberi makan dan jika adapun hanyalah sekeping, dua roti atau baki nasi yang dicampur air sebagai makanan mengalas perut.

"Saya dipukul setiap hari dari hari pertama saya mula bekerja. Majikan sering memukul seluruh badan saya termasuk kepala dan telinga menggunakan kayu dengan alasan ia sebagai denda kerana tidak pandai melakukan kerja harian.

"Salah sikit sahaja saya dipukul, bagaimanapun saya tidak pernah cuba melawan, jauh sekali mengadu pada jiran kerana takut. Saya hanya boleh menahan dan menangis," Modesta dipetik berkata.

Beliau mendakwa gajinya RM500 sebulan juga tidak pernah dibayar sejak dia bekerja di rumah majikannya itu dan hanya dibenar tidur seawal pukul 3 pagi dan bangun semula dua jam kemudiannya.

Modesta dilaporkan berkata dia juga tidak dibenar menghubungi keluarganya di Indonesia dan sejak bekerja di negara ini, keluarganya tidak pernah menerima khabar darinya dan semua nombor telefon keluarga, dibuang oleh majikannya.

"Saya bekerja di dua buah rumah. Kadang-kadang di Bukit Indah iaitu rumah majikan dan kadang-kadang di rumah ibunya di Kampung Baru Ampang.

"Ibu kepada majikan saya itu tahu saya sering dipukul tapi dia hanya mampu diam sahaja.

"Kadang-kadang bila anaknya yang masih kecil membuat masalah, saya juga yang menjadi mangsa amarah majikan," katanya.

Menceritakan bagaimana dia diselamatkan oleh jiran majikannya semalam, agensi berita itu melaporkan, Modesta berkata ketika itu dia bekerja di rumah ibu kepada majikannya di Kampung Baru Ampang sebelum dipukul oleh majikannya hanya kerana dia tidak membasuh dan menjemur baju.

"Hari itu hujan, jadi saya tak dapat nak basuh dan jemur baju. Jadi bila majikan pulang ke rumah ibunya itu kira-kira pukul 12.30 tengah malam, dia terus marah dan pukul saya menggunakan kayu sebelum menolak saya keluar pagar.

"Dia memaki hamun saya dengan menyuruh saya tidur di luar dan dia terus mengunci pagar. Saya tidak berganjak lalu berdiri sahaja di pagar itu kerana saya tidak tahu hendak ke mana, tetapi mujur jiran yang terdengar kejadian itu membuat laporan polis," katanya.

Modesta berkata jiran itu turut memberinya minum air dan memberi makan kuih-muih sementara menunggu polis yang tiba satu jam kemudiannya.

Ketika ditanya adakah dia serik bekerja di negara ini, seperti dipetik
Bernama, Modesta menjawab, "saya masih memikirkan sama ada mahu bekerja di sini lagi atau tidak. Apapun saya mahu pulang ke kampung dahulu dan menemui keluarga yang sudah lama hilang khabar".

Modesta kini mendapat tempat perlindungan dari Kedutaan Indonesia, manakala majikannya yang berusia 37 tahun dan mengandung tujuh bulan itu ditahan polis untuk siasatan.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan