Jimadie Shah Othman |
Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan calonnya bagi pilihanraya kecil DUN Manek Urai Ahad ini. Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibunegara malam ini. Beliau yang juga perdana menteri berkata, pengumuman tersebut akan dibuat di Manek Urai. Menurutnya, mesyuarat MT malam ini mendengar taklimat mengenai persiapan menghadapi pilihanraya kecil DUN Manek Urai serta mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Taklimat mengenai pilihanraya kecil Manek Urai disampaikan oleh pengerusi badan berhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed. Selain itu, katanya, maklum balasnya juga diperolehi daripada sayap-sayap - Pemuda, Wanita dan Puteri Umno - berhubung persediaan bagi pilihanraya kecil tersebut. Sebelum ini, PAS menyatakan parti itu akan mengumumkan nama calonnya Jumaat malam ini. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan penamaan calon bagi pilihanraya DUN Manek Urai pada 6 Julai dan pengundian pada 14 Julai depan. Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga menteri pelajaran memberi taklimat mengenai PPSMI. Taklimat tersebut menyentuhkan tentang pilihan yang ada serta memaklumkan kepada MT tentang pelaksanaan dan kesannya terhadap pencapaian Sains dan Matemaik di sekolah. "MT telah memberi pandangan dan cadangan untuk disampaikan kepada kementerian pelajaran supaya dihalusi dengan lebih mendalam," kata Najib. Selepas itu, katanya, ia akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet dan akan diumumkan apabila sampai masanya. Perdana menteri menegaskan bahawa pengumuman itu akan dibuat tidak lama lagi. -malaysiakini- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan