Manek Urai : PACAK SATU LAGI BATU NISAN UMNO


Oleh: WFAUZDIN NS

BIAR betapa hebatnya propaganda Umno dan media kawalan mereka mengatakan Pas terutamanya kini di ambang perpecahan, namun sebagai penyokong setia Pas dan juga PR termasuk Kelab Penyokong Pas harus berani turun membuktikan bahawa propaganda murahan Umno tidak laku di bumi Kelantan ini khususnya di Manek Urai. Memang benar, berlaku sedikit kocakan di dalam Pas dan tempiasnya dirasai oleh rakan-rakan di dalam PR, tetapi sehingga kini kesemua pimpinan Pas dan juga PR telah nekad untuk `menggali' satu lagi `kubur' buat Umno dan `batu nisan'nya telah pun ditempah.

Mahu tidak mahu, Umno terpaksa menggigit jari dan menelan air liur mereka untuk melihat Pas berpecah. Oleh itu, tidak hairan lagi di TV3 khususnya dan Utusan Meloya amnya, begitu hebat `lagu' ciptaan Tuan Guru Presiden Pas bertajuk `Kerajaan Perpaduan Umno-Pas' dimainkan, sedangkan sebenarnya `lagu' berkenaan masih belum dilengkapi dengan `irama dan lagu' hanya sekadar `lirik' yang tercipta, bahkan albumnya pun belum dikeluarkan. Tetapi `lagu' yang tidak siap berkenaan amat diminati oleh Umno kerana `ada udang di sebalik batu'. Dan yang terbaru seperti yang diumumkan oleh Setiausaha Agung Pas, `lagu Kerajaan Perpaduan' tersebut telah ditarik balik kerana tiadanya `irama dan lagu' yang bersesuaian buat tajuk `lagu' tersebut pada ketika ini. Maka, sumbanglah bunyinya `lagu' tersebut apabila Umno memainkannya.

Setelah beberapa kali Umno di`kapankan' di dalam beberapa siri Pilihanraya Kecil sebelum ini, sudah pasti Umno tidak mahu lagi menanggung malu. Apatah lagi Umno mengakui bahawa kekuatan Pas dan PR hanyalah bergantung kepada yang bukan Melayu, maka di bumi Kelantan ini Umno terpaksa membuktikannya. Jika Umno tewas, ini bererti semua kaum menolak Umno kecuali mungkin golongan `jin jahat atau hantu-hantu' yang sudah cukup umur untuk mengundi. Pas tidak harus leka dengan kemungkinan bantuan dari `makhluk halus' ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa `makhluk halus' seperti ini wujud semasa pilihanraya.

Gunakanlah peluang ini untuk membuktikan bahawa sebenarnya Umno dan Pas tidak serasi untuk di`tunangkan' apatah lagi untuk di`kahwin'kan. Sekian lama Pas telah cuba untuk berdakwah dengan Umno, tetapi jenis Umno ini tidak akan menerima Pas selagi Pas berjuang atas paksi Islam. Tetapi Pas tidak lama mengambil masa untuk menyedarkan bukan Islam terhadap Islam, apabila beberapa pemimpin bukan Islam dari DAP dan PKR kini telah mula memetik ayat-ayat Al-Quran di dalam ucapan-ucapan mereka. Jelas terbukti bahawa Pas sebenarnya lebih serasi, mudah dan senang untuk menjalankan kerja dakwah mereka bila berada di dalam PR jika dibandingkan bersama dengan Umno. Umno ingin bersatu atas dasar Melayu kerana pada mereka Melayu itu Islam, kuat Melayu maka kuatlah Islam. Prinsip ini sebenarnya sesat lagi menyesatkan. Kekuatan kerajaan Islam di zaman Uthmaniah bukan kerana Uthmaniah itu Melayu, tetapi kerana perjuangannya meletakkan Islam di tempat yang tertinggi dan juga kerana keadilannya terhadap semua rakyat.

Saya berharap tiada larangan buat sesiapa sahaja untuk menabur bakti di Manek Urai asalkan tujuannya satu iaitu untuk `mengapan'kan Umno. Kesemua peringkat pimpinan haruslah dibenarkan datang ke Manek Urai kerana di sana nanti kita akan dapat melihat dengan lebih jelas dan nyata siapakah yang ikhlas berjuang untuk Pas dan siapakah yang datang untuk membawa `cincin pertunangan untuk melamar Umno'. Tetapi saya percaya, setelah berbagai pendapat dan kritikan telah dibuat termasuk nasihat dan teguran dari Mursyidul Am, pemimpin-pemimpin Pas yang akan datang ke Manek Urai akan datang dengan semangat yang lebih kuat dan jitu. Biarkan mereka datang untuk mensucikan `dosa-dosa' mereka terhadap parti yang kita sayangi ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan