Pakatan Rakyat Tolak Kerajaan Perpaduan Sebagai Fitnah UMNO

Pakatan Rakyat hari ini secara rasmi menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan membabitkan Umno-BN sebagai tindakan terdesak UMNO untuk menimbulkan kekecohan dalam gagasan pembangkang itu.

Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat, PAS dan DAP bersetuju cadangan kerajaan perpaduan “suatu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak Umno untuk menggugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat."

Kenyataan itu ditandatangani oleh Ketua Umum Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Hadi memberitahu pemberita UMNO telah cuba menggunakan cadangan kerjajaan perpaduan untuk memecahbelahkan perpaduan dalam Pakatan Rakyat.

“Seluruh Umno mempermainkan isu ini seolah-olah menonjolkan PAS dan Umno sahaja dan meninggalkan Pakatan Rakyat. Ini satu cara yang sangat jahat dan satu fitnah untuk melaga-lagakan…. bukan untuk tujuan perpaduan,” tegas Hadi.

Menurut Hadi Pakatan kini hanya bersedia untuk bertemu dengan pimpinan BN bagi membincangkan isu-isu melibatkan kepentingan negara dan rakyat,contohnya usaha-usaha memulihkan ekonomi, memansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri ISA dan salah guna kuasa kepimpinan Polis.

Mesyuarat sejam itu turut dihadiri oleh timbalan-timbalan presiden, naib presiden dan setiausaha agung parti komponen Pakatan.
Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang menjadi tumpuan bersabit isu itu tidak hadir.

-TVAntara.com.my-












Tiada ulasan:

Catat Ulasan