SHAH ALAM, 7 Jun (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hassan menaruh kepercayaan dan harapan terhadap Ucapan Dasar Presiden PAS yang menggalakkan Pemuda PAS memainkan peranan sebagai semak dan imbang agar landasan perjuangan PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat terus berjalan sebagaimana tuntutan Islam dan harapan rakyat. Beliau yang berucap dalam membahaskan penggulungan muktamar berkata 103 perkara penting yang disebut dalam Ucapan Dasar Presiden itu memerlukan buruh untuk berkerja. Justeru katanya, barisan Pemuda PAS bersedia menjadi pejuang-pejuang dan petugas yang akan membawa Islam memimpin perubahan. "Saya ingin menegaskan tentang harapan Presiden itu. Harapan tersebut telah diikat oleh Rasulullah. Pemuda pada zaman Rasulullah bersama-sama berjuang dengan Baginda. "Pemuda PAS sentiasa menjadi penyokong yang hebat dalam perjuangan Rasullullah. Mereka menyatakan, kami tidak akan menjatuhkan air muka Rasullullah. Justeru Pemuda juga tidak akan mencemar wajah Presiden dan Mursyidul Am. "Dewan Pemuda PAS akan memelihara manhaj ketulinan perjuangan dan akan menjaga indentiti dan jati diri parti dengan dakwah, tarbiyah, siasah, fundamental, kontemporari dan futuristik," katanya. Dalam pada itu, Nasruddin turut menegaskan Pemuda PAS akan sentiasa segar dan tegar untuk memberi kritikan kepada pemimpin yang mana dalam masa yang sama kami juga bersedia untuk dibimbing. "Saya tertarik dengan ingatan PAS Kelantan bahawa Umno berpecah belah dan dikenali sebagai spesis yang berbahaya tidak diberi ruang untuk menghancurkan perjuangan," katanya. Sementara itu, Nasruddin turut mengingatkan seluruh ahli PAS, walaupun benci kepada Umno dan Barisan Nasional, jangan keciciran daripada menyampaikan dakwah. "Kalau Allah pernah mengutuskan Nabi Musa untuk bertemu dengan Firaun, kita juga berharap dapat mengembangkan dakwah untuk mereka kembali kepada Islam bagi mengemuka perubahan," katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan