Anwar: Benarkan Chin Peng pulang |
Atas dasar perikemanusiaan, bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, patut dibenarkan pulang ke Malaysia, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Dia (Chin Peng) umur pun dah tua. Dia nak balik ke kampung halaman dia. Kita dah benarkan dulu," katanya dalam sidang media selepas berucap dalam Kongres Khas PKR di Bangi hari ini. "Sejarah kita kena dilihat secara objektif dan (kita) ambil sikap peri kemanusiaan. Yang sudah sudahlah, kita kerja," kata Anwar, sambil menyifatkan isu komunis dimainkan media pro-pemerintah. Menurut Anwar, ketika berada dalam kerajaan dahulu, beberapa pemimpin Umno, termasuk beliau pernah berkunjung ke China dan bertemu dengan pemimpin Parti Komunis China. "Kita ada perjanjian damai. Kita bawa balik perbagai tokoh termasuk, Shamsiah Fakeh dan beberapa (pemimpin) yang lain. Bagi saya, atas dasar kemanusiaan dan konsisten dengan dasar, kita kita harus maafkan (Chin Peng). "Dari segi Islam, ketika pembukaan Mekah, Rasulullah memaafkan semua kafir Quraish yang menyerang, membunuh dan melakukan keganasan terhadap Islam dan penyokong Rasulullah. Maknanya ada masa kita berdamai," katanya. Chin Peng, 85, tinggal dalam buangan di Bangkok dan telah memohon kebenaran kerajaan dan juga melalui mahkamah untuk pulang ke Malaysia. Dilahirkan di Perak sebagai Ong Boon Hua pada 1923, Chin Peng dianugerahkan Order of the British Empire (OBE) dan dua pingat kerana membantu British melawan pendudukan Jepun di Malaya dalam Perang Dunia Kedua. Perjanjian damai Dia kemudiannya mengetuai Parti Komunis Malaya (PKM), yang disokong oleh China, melancarkan perang gerila terhadap penjajahan British dan kerajaan Malaysia, antara 1948 dan 1960. Ahli-ahli sejarah menganggar kira-kira 2,000 tentera British dan pasukan keselamatan Malaysia terkorban serta 7,000 anggota komunis. PKM kemudiannya menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia pada 1989 yang membenarkan beberapa pemimpin tinggi PKM pulang ke Malaysia. Menurut Anwar lagi, Chin Peng harus dibenarkan pulang tetapi "ia tidak bermakna kita bersetuju dengan kesemua kesilpan yang telah dilakukannya". Sebaliknya, kata beliau, pendiriannya mengenai Chin Peng itu adalah atas "alasan kemanusian" dan bukannya kerana beliau menyokong PKM kerana sewaktu masa mudanya, beliau menentang keras fahaman komunisme. Banyak pihak, termasuk Persatuan Bekas Tentera Malaysia, menentang keras Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata sebarang saranan untuk membenarkan Chin Peng tidak akan dilayan dan menegaskan perkara itu hendaklah "ditutup". Anwar berkata beliau menjangka Utusan Malaysia - akhbar milik Umno - akan "memutarbelit" kenyataannya mengenai Chin Peng hari ini. Ada kemungkinan, katanya, mereka akan menulis tajuk "Anwar sokong Chin Peng" atau "PKR suara baru komunis". -malaysiakini- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan