Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri tidak akan meletakkan nyawa atlit negeri itu untuk menyertai acara Sukma ke 13 di Melaka sekiranya stadium di mana sukan dwi tahunan itu diadakan didapati tidak selamat.
Walaupun tidak bermaksud untuk memboikot sukan tersebut Lim berkata pihak penganjur mestilah terlebih dahulu memastikan tahap keselamatan struktur bangunan dan stadium berada dalam tahap yang memuaskan.
Beliau berkata demikian ekoran kejadian Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu runtuh semalam walaupun ia baru berusia setahun,sambil berharap insiden seperti itu tidak akan berulang lagi.
Beliau bercakap selepas merasmikan slogan dan Billboard Countdown Pulau Pinang untuk SUKMA ke 13 Melaka 2010 di Penang Times Square hari ini, Lim berharap acara Sukma ke 13 di Melaka yang akan diadakan dari 28 Mei hingga 6 Jun berjalan dengan lancar dari semua aspek keselamatan, kestabilan bangunan dapat dijamin demi keselamatan para atlet di stadium tersebut.
Ketua Menteri itu juga berkata stadium bandaraya Pulau Pinang yang mempunyai sejarah dan ciri warisan setakat ini tidak mempunyai sebarang masalah sementara bagi Stadium Batu Kawan pula kerajaan negeri akan menimbang untuk meluluskan peruntukan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keadaan stadium tersebut.
Pada majlis yang sama Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti yang baru mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 mengumumkan pelantikan Mokhtar Mohd Jait sebagai Yang DiPertua Majlis Perbandaran Seberang Perai dan Tan Cheng Chui sebagai Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
Patahiyah Ismail juga dilantik sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
Ketiga-tiga pelantikan itu berkuatkuasa 1 Jun 2009 dan tempoh pelantikan mereka adalah untuk tempoh dua tahun.
-www.tvmutiara.com-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan