Majlis Raja-Raja hari ini memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri diperoleh terlebih dahulu berhubung cadangan pindaan undang-undang yang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan). Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan Majlis Raja-Raja membuat keputusan untuk menangguhkan cadangan pindaan itu pada satu mesyuarat khas hari ini. Mesyuarat selama dua setengah jam di Istana Negara itu dipengerusikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, lapor Bernama. Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, turut berangkat ke mesyuarat itu. Menurut kenyataan itu, semua Raja hadir kecuali Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Tengku Abdullah; Sultan Kelantan diwakili Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra; Sultan Perak diwakili Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah; dan Pemangku Raja Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman. Pada 22 April lalu, Kabinet membuat keputusan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, apabila ibu atau bapa mereka memeluk agama lain kemudian. Kabinet berpendapat penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak. Jemaah menteri juga bersetuju mana-mana individu yang ingin menukar agama, perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan tanggungjawabnya terlebih dulu, bagi mengelak pihak yang tidak bersalah, terutama kanak-kanak, menjadi mangsa. Taklimat dibatalkan Berikutan keputusan Majlis Raja-Raja tersebut, satu majlis taklimatuntuk ahli parlimen beragama Islam mengenai pindaan tersebut dibatalkan pada saat-saat akhir. Taklimat tersebut dijadual diberikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada jam 6 petang hari ini. Mereka dijemput oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom yang menjaga halehwal agama Islam. Tiada sebarang alasan rasmi diberikan berhubung pembatalan tersebut, tetapi menteri yang menjaga halehwal undang-undang, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ia kerana ahli parlimen terbabit sibuk dengan jadual masing-masing. Katanya, taklimat tersebut akan diadakan kemudian tetapi tidak mengulas lebih lanjut. Pada 16 Jun lalu, Nazri memberitahu Dewan Rakyat bahawa pindaan tersebut sedang diperincikan oleh Pejabat Peguam Negara sebelum dibentangkan di Parlimen. -malaysiakini- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan