Penulis terkesan dengan satu hujah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika Muktamar PAS ke-55 di Shah Alam baru-baru ini. Beliau berkata perkara yang sudah termaktub itu buat apa dibincangkan, buat apa cari pasal. Walaupun apa yang akan penulis kemukakan dalam artikel ini menyentuh perkara lain dan dalam konteks berbeza daripada apa dimaksudkan oleh Tuan Guru itu, setidak-tidak ia boleh dijadikan panduan. Penulis merujuk kepada dua perkara yang hangat dibincangkan sekarang ini. Satu, syor wajib lulus subjek Bahasa Inggeris untuk mendapat sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kedua, menghadkan mata pelajaran yang boleh diambil calon dalam peperiksaan itu. Pada pendapat penulis, kedua-dua perkara ini tidak menjadi masalah pun (tidak ada pasal), jadi apa perlu sibuk-sibuk. Kenapa pula hendak mewajibkan lulus bahasa Inggeris, peraturan dulu tidak baguskah? Pada pendapat penulis perkara-perkara yang sudah termaktub tak usahlah nak digali-gali lagi, nak cari masalah. Isu ini tidak timbul langsung, saja pemimpin sekarang 'gatal' tangan, tak ada penyakit cari penyakit. Kalaulah katanya, nak memantapkan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah, ini cerita lain. Nyatakanlah apa program yang boleh dibuat untuk memperhebatkan anak-anak kita menguasai bahasa Inggeris, ini tidak, lain pula dibuatnya. Kalau nak wajibkan lulus bahasa Inggeris sebagai satu cara meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ini masuk bab lain sebab ia ada hubung kait dengan masa depan anak-anak, silap haribulan ramai yang tersadai kerana tidak lulus. Kemudian kalau dikatakan akan diadakan program untuk meningkatkan kefahaman agama, penghayatan serta amalannya di kalangan anak-anak sekolah, alangkah baiknya. Tokoh agama sendiri mengakui, ramai budak-budak sekolah ini tidak solat. Kalau sekolah sesi pagi, boleh juga ibu bapa tengok-tengok anak itu solat subuh tetapi kalau anak-anak ke sekolah sesi petang, siapa nak pastikan dia solat zuhur dan asar. Betulkah ada tempat dan masa untuk dia solat? Perkara kedua, apa sibuk nak hadkan anak-anak mengambil mata pelajaran lebih. Itu terpulanglah kepada mereka dengan bimbingan ibu bapa dan guru masing-masing. Kalau mereka fikir mereka boleh ambil 20 subjek ambillah, risikonya mereka tanggung sendiri. Tetapi di sekolah ada 'standard'nya, misalnya hanya 10 atau 12 mata pelajaran saja yang diajar, yang lain itu pandai-pandailah sendiri. Demikianlah, mengapa agaknya pemimpin kita suka benar cari pasal benda yang 'tidak ada pasal'. Dulu sudah baik Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu, dia cari pasal, disuruh budak-budak dan guru guna bahasa Inggeris. Apa, depa tak pandai ke jika guna bahasa Melayu? Kalau tak pandai masakan Sheikh Muszaphar yang belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu dapat ke 'outer space'. Tiada siapa pun yang desak awak tukarkan bahasa itu, awak saja yang saja cari pasal. Sampai hari ini pasal ini tidak selesai, tetapi dia orang tak serik-serik, nak cari pasal lain pula. Silap-silap haribulan, tak pasal-pasal kerajaaan awak akan tumbang kerana pejuang-pejuang bahasa sudah marah, masakan tidak, bahasa Melayu diinjak-injak kini tidak layak berbicara ilmu sains dan teknologi! Pasal Sains dan Matematik ini pun tak selesai, pemimpin cari pasal lain pula. Tolonglah, jangan cari pasal pada benda yang tidak ada pasal! Misalan lain, apa pasal dibuang nama bangsa termasuk Melayu dalam kad pengenalan, dulu punya IC tidak baguskah? Sebenarnya hidup ini akan menjadi aman jika kita tidak suka cari pasal. Kerana cari pasallah, keadaan dalam negara kita kurang aman terutama akhir-akhir ini. Misalnya, krisis perlembagaan di Perak, siapa suruh cari pasal? Kalau tidak ada tangan-tangan yang gatal; yang gilakan kuasa, yang gila melompat dan sebagainya tentu tidak akan timbul pasal. Apabila timbul pasal, huru-haralah kehidupan orang awam jadinya. Pemimpin, malah siapa saja, tolonglah, janganlah jadi macam tikus membaiki labu. Awak ingat apa yang awak buat itu baik, hakikatnya akan membawa lebih banyak kerosakan. Bagi orang Islam, mereka yang bertindak di luar batasan agama termasuk hukum-hakamnya dengan memadai-madai sendiri, masalah tidak selesai, malah bertimbun-timbun jadinya. Islam itu lengkap, mengapa awak pandai-pandai. Kalau mencuri itu hukumnya potong tangan, kalau bunuh dibalas bunuh, kalau berzina dirotan 100 kali atau direjam sampai mati; tetapi mengapa awak pandai-pandai 'buat skrip' baru? Mengapa awak pandai buat Islam itu, Islam ini? Selepas kamu tidak berkuasa, orang tidak hiraukan apa yang kamu buat dulu. Bukankah apa yang awak buat dulu habiskan tenaga dan membawa kepenatan saja? Akhirat nanti, entahlah, serah diri kepada-Nya. Akhir sekali, pemimpin dan semua orang termasuk diri sendiri, diingatkan tidak mengamalkan tabiat buruk ini - gali lubang, kambus lubang. Misalnya, mula-mula gali lubang Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, kemudian apabila masalah timbul, cuba kambus lubang itu dan gali lubang lain dengan mewajibkan lulus Bahasa Inggeris pula. Bukankah tiada pasal, cari pasal? Tolonglah wahai pemimpin, fikirkan perkara lain untuk mendepankan anak bangsa, ini tidak asyik membelenggu rakyat dalam isu yang tiada isu pun! Apabila tabiat gali lubang kambus lubang ini diamalkan, bila agaknya akan datang ketenteraman terutama kepada pada rakyat. Jadi betullah kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz itu; perkara yang sudah termaktub usahlah nak dicari pasal lagi. Yalah, buat apa habiskan 'current' dan 'beras', sedangkan masa makin lama makin habis, tup-tup tahu sudah ada dalam kubur! |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan