Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dipertontonkan rakaman klip video telefon bimbit aksi pembunuhan seorang anak dan dua orang anak saudara mangsa yang kelihatan "terpengaruh dengan Al-Arqam" pada sambutan Aidilfitri tahun lalu. Menurut Bernama, ibarat menonton filem kategori 18SG yang mempunyai unsur keganasan, beberapa orang lelaki dan wanita kelihatan tidak menghiraukan keadaan dua mangsa Mohd Ibrahim Kader Mydin, 48, dan isterinya Rosina SM Mydin Pillay, 42 yang mengalami pendarahan teruk di kepala. Rakaman video dari telefon bimbit milik tertuduh ketiga, yang merupakan anak mangsa bunuh itu, Muhammad Nizam Mohd Ibrahim, 19, mayat pasangan itu diletakkan bersebelahan dan tangan kedua-duanya dirapatkan seolah-olah berpimpin. Hampir kesemua yang berada di dalam mahkamah kelihatan menutup mulut dan sesekali berpaling ke arah lain apabila muncul beberapa babak keadaan dua mangsa yang mengalami kecederaan teruk di bahagian muka dan kepala mereka sehingga mengeluarkan darah yang banyak. Lebih menyayat hati apabila mendengar suara Rosina yang mengerang kesakitan dan jelas kelihatan darah mencurah-curah keluar dari bahagian hidung dan mukanya yang cedera teruk, lapor agensi berita itu lagi. Klip video yang ditayangkan selama satu setengah jam itu merupakan sebahagian daripada 17 klip yang diambil oleh juruanalisis makmal forensik polis Cheras, Inspektor Ameyruddin Ahmad Zuki, yang dikemukakan sebagai barang bukti, manakala terdapat 22 keping gambar yang juga diambil dari telefon bimbit yang sama. Muhammad Ilyas Abdul Razak, 23, dan adiknya Muhammad Fauzi Abdul Razak, 21, merupakan sepupu Muhammad Nizam yang turut didakwa suami isteri tersebut di rumah No 5-7C, Blok A, Flat Seri Sarawak di Kuala Lumpur pada 1 Oktober 2008 antara pukul 12 tengah hari hingga 8 malam. Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. Bermula dari awal rakaman, menurut Bernama lagi, hanya Rosina sahaja yang kelihatan masih hidup, manakala Mohd Ibrahim tidak lagi kelihatan bergerak dan baju putih yang dipakainya dibasahi dengan darah. Menerusi klip video pertama, dapat dilihat seorang lelaki sedang berbaring dan kedengaran satu suara yang menyuruh lelaki itu supaya tidur, manakala klip kedua memaparkan pergerakan beberapa lelaki dan jelas kedengaran suara lelaki sedang berdoa. Pada rakaman ketiga dan keempat barulah ditunjukkan keadaan Rosina yang terbaring dan suaranya yang mengerang kesakitan. Ketika itu ada suara yang menyatakan "boleh hidup yang mati" dan "ini adalah air Abuya (sambil menuang ke dalam mulut Rosina)". Rakaman kelima pula menunjukkan keadaan persekitaran berhampiran dua mangsa dan dilihat banyak percikan darah pada bahagian dinding rumah dan peti sejuk dan diselang-seli dengan keadaan mangsa dan kelakuan ketiga-tiga tertuduh yang mengangkat sumpah sambil memegang gambar pemimpin pertubuhan Islam itu - kini diharamkan. Ketika semua yang menonton serius mendengar dan menonton klip video tersebut, tiba-tiba timbul kenyataan lucu dari Muhammad Ilyas yang menyebut nama Cik Siti Fatimah yang disebut sebagai anak pemimpin itu dan berkata "saya akan jadi bakal suami anda, kita minta pada Tuhan seperti yang dikehendaki." Ketika itu, semua yang berada di mahkamah tersenyum seketika apatah lagi pada klip video keenam Muhammad Ilyas sempat merayu seolah-olah meminta Cik Siti Fatimah yang dikatakannya itu menerimanya dan dia juga sempat melaungkan takbir dan memohon maaf pada orang di Pulau Pinang. Klip video ketujuh memaparkan pengakuan ketaksuban tertuduh pertama dan kedua, manakala pada klip kelapan kelihatan tertuduh ketiga membuat ikrar (sambil memegang gambar pemimpin itu) yang menyatakan "sanggup berjuang kerana Allah dan Abuya Ashaari adalah benar, saya ingatkan pada semua bahawa ini benar." Pada klip kesembilan hingga ke-13, tiada lagi kedengaran suara kesakitan Rosina dan ketika itu kedengaran suara lelaki menangis serta ada susuk tubuh yang meratap di hadapan mangsa. Rakaman ke-14 hingga ke-16 menunjukkan bagaimana kelakuan beberapa lelaki (termasuk tiga tertuduh) berusaha menghidupkan kedua-dua mangsa, lapor agensi berita nasional. Klip video terakhir yang mengambil masa paling lama, iaitu kira-kira 20 minit, memaparkan antara tindakan kejam beberapa lelaki. Sepanjang rakaman ini dipertontonkan ketiga-tiga tertuduh yang berada di dalam kandang menundukkan muka ke lantai dan sesekali menyapu air mata dan berpandangan sesama sendiri. Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Azman Abdullah disambung 17 Jun depan. Pendakwaan hari ini dilakukan oleh timbalan pendakwaraya Anselm Charles Fernandis, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Supramaniam Kasia Pillay. -malaysiakini- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan