Ahmad Lutfi Othman | |
BERULANG kali pemimpin kanan kerajaan dan pegawai tinggi polis menasihati (sebenarnya memberi amaran) orang ramai agar tidak membuat pelbagai andaian dan spekulasi tentang kematian misteri Teoh Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, anggota exco kerajaan negeri Selangor, 16 Julai lalu. "Kami bukan mahu menyembunyikan sesuatu. Kami mahu perkara ini disiasat secara telus. Polis sedang menyiasat dan kita patut tunggu sehingga mereka menyiapkan siasatan mereka," janji Timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Teoh - yang sepatutnya mendaftarkan perkahwinan dengan tunangnya, Soh Sher Wei, 28, pada 17 Julai, sebelum melangsungkan perkahwinan mereka pada Oktober - ditemui mati, di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas disoal siasat selama kira-kira 10 jam, bermula jam 5 petang sehingga pukul 3.45 pagi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Pejabat SPRM terletak di tingkat 14 bangunan sama. Bagai penjenayah tegar Lagak siasatan SPRM seolah-olah Teoh penjenayah tegar sehingga perlu dipaksa kenyataan yang kelur dari mulutnya selari dengan kehendak pihak berkuasa. Beliau disoal siasat berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan Dun membabitkan beberapa Adun Pakatan Rakyat Selangor, kebanyakannya DAP. Ramai mempersoalkan, mengapa taktik ugut-ancam (yang lapuk dan kuno itu) yang masih dipakai pegawai penyiasat SPRM? Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar mengecam tindakan SPR menyoal siasat dalam tempoh yang panjang dan hingga ke awal pagi, yang disifatkannya sebagai satu penderaan mental yang menyebabkan fizikal menjadi lemah dan tertekan dari segi psikologi. Tindakan itu adalah menyalahi etika, amalan dan prinsip hak asasi manusia. Selain itu, ramai tidak puas hati dengan penjelasan Pengarah Siasatan SPRM, Dato' Mohd Shukri Abdull, apatah lagi apabila beliau seperti mahu mengandaikan (malah membuat kesimpulan) Teoh mungkin telah membunuh diri. Shukri berkata, "Kita tak pasti dia terjatuh atau lompat atau apa." Lebih ramai lagi yang marah dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Abdul Aziz. "Saya dapat laporan awal dari SPRM mengatakan dia dah dilepaskan selesai soal siasat semalam. Jadi, dia patut balik rumah. Kita pun tak tahu dia nak terjun bangunan itu ...," kata Nazri. Beliau turut dilihat seolah-olah menuduh Teoh membunuh diri. Muhyiddin atau Nazri, begitu juga dengan pihak polis dan SPRM, harus menyedari bahawa rasa ingin tahu rakyat terhadap peristiwa sebenar kes kematian Teoh begitu membuak-buak sekali. Keghairahan itu tidak akan padam hanya dengan nasihat (atau arahan) agar menunggu siasatan polis selesai. Apatah lagi dalam keadaan integriti pihak polis dan SPRM berada pada kedudukan terendah. Proses siasatan SPRM dicurigai Agak mudah untuk mencari contoh tentang kes-kes bagaimana proses siasatan pihak polis dicurigai ketelusannya. SPRM yang baru bertukar nama daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR)dan diberikan kuasa lebih luas pada Disember lalu turut menyimpan kes-kes yang merendahkan martabat dirinya sendiri. Kerajaan BN juga tidak dapat menghalang rakyat daripada membuat andaian demi andaian, khususnya apabila banyak persoalan yang mencurigakan timbul dalam kes kematian Teoh. Suara hati dan gelodak rasa rakyat tidak mudah untuk ditundukkan hanya dengan perintah dan amaran pihak berkuasa. Baca selanjutnya:-http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=021826&Itemid=39 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan