Harakahdaily | |
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) sekali lagi bakal mencipta gelombang perubahan gerakan mahasiswa Islam dengan menganjurkan 'Konsert Antara Dunia' yang bakal dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1 Ogos jam 8.00 malam di Stadium Melawati, Shah Alam. Program tersebut dijangka menampilkan dua kumpulan nasyid dari luar negara, Shoutul Harakah dari Indonesia dan Nibraz dari Mesir selain tiga kumpulan nasyid tersohor, Rabbani, Raihan dan Hijaz. Acara terpenting dalam konsert tersebut adalah gabungan mahasiswa Islam terbesar di Malaysia ini bakal mengiktiraf ketokohan Menteri Besar Kelantan menerusi Anugerah Tokoh Kepimpinan Islam Teladan Malaysia. Menurut Presiden Gamis, Mohd Dzul Khairi Mohd Noor, mereka bersetuju untuk memberikan anugerah khas tersebut kepada MB Kelantan berdasarkan tiga kriteria utama. "Ketiga-tiga ciri itu ialah, ketokohan Tuan Guru dalam memimpin sebuah kerajaan dengan penuh keadilan, semangat dakwah yang wujud dalam diri beliau dan sifat mesra beliau dengan artis-artis tanah air khususnya dan dunia hiburan umumnya. "Kami tidak melihat faktor politik dalam soal pemilihan ini. Bukan soal beliau Mursyidul Am kepada sebuah parti pembangkang yang besar di Malaysia," katanya Tegasnya, faktor pemilihan ini adalah berdasarkan tiga perkara yang terpenting iaitu kekuatan daya pimpinan Ustaz Nik Aziz dalam mentadbir sebuah negeri yang ternyata jauh daripada gejala rasuah. �Kami juga sebenarnya berasa amat kagum dengan toleransi beragama yang wujud dalam dirinya. "Selain itu, berdasarkan pemerhatian kami juga beliau sangat mesra dengan artis-artis tanah air, malah keperibadian beliau dikagumi kumpulan seni itu," demikian ujarnya yang merupakan penasihat konsert tersebut. Orang ramai dijemput hadir ke program yang julung-julung diadakan oleh gabungan mahasiswa yang selama ini dilihat sangat radikal dan kritis terhadap soal-soal keadilan dan kebajikan rakyat. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan