Samad Said: Bahasa Inggeris dapat RM5 bilion, bahasa Melayu dapat berapa?

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Julai - Sasterawan Negara Dato' A Samad Said berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan sewajarnya untuk memartabatkan bahasa Melayu di sekolah-sekolah sebagaimana yang diberikan untuk pengukuhan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Menurut Bernama, beliau berkata sekiranya kerajaan seperti yang dilaporkan memperuntukkan hampir RM5 bilion bagi mengukuhkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah, ia seharusnya boleh dilakukan terhadap bahasa Melayu.

"Saya ingin tahu juga, untuk memartabatkan bahasa Melayu berapa jumlahnya," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran buku antologi sajak bertajuk "Mengabdi, Melestari" sempena ulang tahun ke-30 Permodalan Nasional Berhad (PNB), di sini Jumaat.

Peruntukan RM5 bilion itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Dr Puad Zarkashi di Dewan Negara semalam.

Sementara itu A Samad Said yang juga Penasihat Gerakan Memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), menyifatkan pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai PPSMI sebagai bukan pemansuhan PPSMI, tetapi menangguhkan pemansuhan.

"Cuma yang saya tidak setuju, ia (pemansuhan PPSMI) bukan sekarang, bukan tahun depan tetapi ia 2012," katanya.

Bagaimanapun, katanya beliau memahami bahawa pemansuhan itu tidak dapat dilakukan serta merta dan kesediaan kerajaan memenuhi tuntutan rakyat itu sudah cukup baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan