Siasatan awam itu bertujuan memeriksa sama ada tindakan polis itu cuba menghalang khidmat guaman kepada sekumpulan aktivis yang membantah krisis politik Perak dan, oleh itu, mencabuli Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 28 Kanun Acara Jenayah.
Ia juga bertujuan memeriksa sama ada wujud kewajaran untuk menahan lima peguam itu bawah Seksyen 27 Akta Polis yang boleh dianggap satu pencabulan hak asasi.
Siasatan itu ditetapkan pada 14 hingga 16 Ogos ini di pejabat suruhanjaya itu di Jalan Raja Laut.
Lima pengamal undang-undang berkenaan ditahan dalam satu perhimpunan di depan ibu pejabat polis daerah Brickfields pada 7 Mei lalu - hari persidangan DUN Perak yang dipenuhi kontroversi.
Fadiah Nadwa Fikri, Murnie Hidayah Anuar, Puspawati Rosman, Ravinder Singh Dhalliwal dan Syuhaini Safwan semuanya dibebaskan petang keesokannya.
Kelima-limanya, yang menganggotai biro khidmat guaman Majlis Peguam Kuala Lumpur, hadir di situ bagi mewakili sekumpulan aktivis yang ditahan kerana membantah penangkapan Wong Chin Huat, seorang jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), yang menganjurkan orang ramai memprotes persidangan itu dengan berpakaian hitam.
Wong ditahan 5 April lalu selepas melancarkan kempen "1Black Malaysia" dan ditahan reman selama tiga hari di balai polis tersebut.
-malaysiakini.com-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan