UBN Najib Altantuya: 'Umno kini tiada maruah, dulu 'tendang' kami keluar' - Nik Aziz

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 28 Julai (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa hubungan yang terjalin sekarang ialah di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan dan bukan hubungan dengan parti Umno.

"Hubungan negeri ialah dengan Kerajaan Pusat oleh kerana sistem yang diamalkan ialah sistem Federalisma, oleh itu tidak timbul hubungan dengan Umno."

Mursyidul Am PAS itu berkata demikian pada sidang media selepas melawat pameran ternakan di Padang Perdana dekat sini semalam.

"Kerajaan Pusat ada kewajipannya kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri pula ada kewajipannya terhadap Kerajaan Pusat, maka kenapa mahu disekat (hubungan itu).

"Kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri hendaklah menyentuh isu penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan," katanya.

Dalam pada itu Nik Aziz berkata tindakan parti lain di peringkat Pusat yang menghalang Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dari mendapat kemudahan daripada Kerajaan Pusat itu bukan menurut Perlembagaan.

"Tidak terdapat dalam Perlembagaan dan tidak terfikir pada akal fikiran manusia bahawa negeri Kerajaan Pakatan Rakyat dihalang oleh parti lain di Pusat dari mendapat kemudahan sepatutnya.

"Kenapa peruntukan Kerajaan Persekutuan tidak diberi terus kepada Kerajaan Negeri sebagaimana dilakukan Kerajaan Pusat ketika Kelantan diperintah Umno dahulu. Kenapa kini ditubuhkan JPP?

"Apa kata kalau parti lain (Kerjaan Pakatan Rakyat) menguasai Pusat lalu menubuhkan juga JPP di negeri yang diperintah Umno, apa perasaan mereka," katanya sambil menyifatkan konsep Satu Malaysia dan demokrasi yang dilaung-laung bercanggah dengan tindakan dilakukan Umno Pusat ke atas Kerajaan Negeri.

Oleh itu katanya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Pusat mesti membantu Kerajaan Negeri, dan urusan membantu mana-mana Kerajaan Negeri bukan dilakukan dengan sukarela, tetapi melalui peruntukan Perlembagaan.

"Kalau dia (Kerajaan Pusat) tidak buat juga, kita gulinglah. Pandailah kita guling.

"Terbaru, ada Menteri yang tidak mengizinkan pegawai dia di Kelantan ini bekerjasama dengan Kementeriannya. Itu bukan sifat seorang Menteri,"katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa dasar perjuangan Umno dan PAS memang selamanya tidak sama.

"Umno memang tidak serupa dengan PAS, bahkan pada setiap kali diadakan pilihan raya sama ada Pilihan Kecil atau Pilihan Raya Umum, Umno tetap melawan PAS.

"Kerana apa Umno melawan PAS, setiap tahun sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya besar sedangkan sekiranya di dunia ini tidak ada Umno, (andai kata), orang Melayu boleh hidup molek, bahkan Islam itu sendiri boleh berkembang dengan baik, tegasnya

Menteri Besar turut mengulas perkembangan mutakhir mengenai surat yang dihantar kepada Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak bertujuan untuk bermujadalah.

"Menerusi surat itu, saya bertanya dia kenapa Umno menolak Islam dan menggantikannya dengan 'Kebangsaan'.

"Dan kenapa Umno melawan PAS. Di mana tidak kenanya kedudukan PAS khususnya dari segi agama dan Perlembagaan. Di mana tidak kena kedudukan PAS dengan Perlembangaan Persekutuan.

"Sehingga kini dia tidak jawab-jawab pun (surat itu)," katanya.

Dalam perkembangan politik semasa, beliau turut mengulas tindakan meninggalkan parti oleh anggota pimpinan Umno-BN termasuk mantan Menteri Kesihatan dan bekas Naib Presiden MCA Dato' Chua Jui Meng dan mantan Naib Presiden MIC S S Subraniam.

Kedua-dua mereka memasuki Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Terdahulu mantan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga mantan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu Dato' Zaid Ibrahim memasuki PKR.

"Insya Allah, ramai lagi orang Melayu, Cina dan India yang sedar, mereka akan meninggalkan Umno-BN," katanya.

Beliau mempertikaikan cadangan bekerjsama dengan Umno walau pun ada dakwaan bahawa dengan itu akan lebih memudahkan lagi kerjasama antara pemerintah.

"Umno sekarang sudah tidak ada maruah. Nak minta bekerjasama dengan orang PAS), "(tetapi) waktu kamu gagah dahulu kamu tendang aku (PAS) (keluar daripada Kerajaan Pusat). Saya ingat perkara itu," tegasnya sambil mengingatkan bahawa PAS menyertai Kerajaan Pusat ketika itu dengan jemputan daripada Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan