Doktrin Politik Islam Digeruni Musuh

Oleh : PAS Sabah

Tawau, 3 Ogos 2009 ; Hanya Islam yang syumul yang merangkumi doktrin politik Islam sahaja yang digeruni dan dihormati oleh musuh Islam. Demikian ditegaskan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam sesi dialog bersama warga Tawau, Sabah, kelmarin.

Menurut beliau, seorang orientalis Barat (Belanda) yang belajar di Pasantren Indonesia dengan tujuan untuk menyerang Islam telah membuat kesimpulan hasil penyelidikannya bahawa umat Islam yang tunduk di masjid sahaja tidak berbahaya dan mampu menguggat gerakan misionary dan ideologi-ideologi lain kerana mereka hanya menumpukan kepada islah diri mereka sahaja. Akan tetapi umat Islam yang mempunyai doktrin politik Islam lebih berbahaya dan mengancam ideologi dan pengaruh barat. Ini berikutan politik Islam bakal memerintah dengan adil dan penuh hikmah yang akan menyukarkan sebarang pengaruh lain untuk mempengaruhi umat Islam. Umat Islam akan kuat dan bakal muncul sebagai suatu kuasa politik dunia.


[ Ust Razali Pejuang Tawau dan anak-anak bergambar kenangan dibelakang Tuan Guru Presiden]

Sejarah Islam telah membuktikan, bilamana pemerintah Islam berpegang kepada undang-undang Islam, keadilan akan dapat ditegakkan sekalipun pemimpin Islam tersebut buruk akhlaknya. Beliau mengambil contoh Timberland seorang pemerintah Monggol keturunan Tartar yang pernah menjajah Tamadun Islam seorang peminum arak tetapi tidak pernah meninggalkan solat subuh berjemaah boleh berlaku adil kepada rakyatnya. Begitu juga Sulatan Mesir Malik Zahir Bobes (dari keturunan hamba) yang agak buruk akhlaknya, bilamana negaranya diancam oleh serangan Tartar Monggul, baginda kembali kepada Islam dan berjaya menahan asakan Tartar Monggul yang terkenal ganas dan kuat itu. Natijah ini berlaku selepas beliau melancarkan slogan " selamatkan Islam" kepada rakyatnya.

Berhubung perkara yang sama, apabila menjawab cadangan seorang penyokong Parti Keadilan Rakyat(PKR) supaya dibina lebih banyak sekolah agama di negeri Sabah ini. Menurutnya, apabila sekolah agama banyak dibina, ramai orang belajar dan faham Islam, mereka akan menyokong Islam. Tuan Guru Presiden menyebut: "Di Malaysia ini, Johor adalah negeri yang paling banyak sekolah agama, namun dalam masa yang sama negeri Johorlah negeri yang paling susah Islam untuk menang kerana rakyatnya berpegang kepada nasionalis"(fahaman kebangsaan Melayu). Apa yang penting dalam pendidikan Islam ini ialah pendidikan Islam yang syumul, menyeluruh dan menepati pendidikan yang diajar oleh baginda Nabi SAW. Nabi Muhammad SAW adalah pemimpin agung dan contoh teladan yang terbaik. Baginda seorang pendakwah, ketua keluarga, kepala tentera, baginda juga adalah pemerintah sebuah kerajaan yang berdaulat.

http://legehiyyah.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan