Koroner Los Angeles sahkan kematian MJ sebagai kes bunuh

Propofol sebelum ini sering dikaitkan dengan kematian Jackson. foto-AFP

KEMATIAN Michael Jackson disahkan sebagai satu kes bunuh atau homosid menurut laporan yang telah didedahkan semalam.

Salinan laporan koroner Los Angeles menyebut, badan Raja Pop itu mempunyai kandungan anestatik Propofol yang cukup tinggi.

Dalam siasatan yang dijalankan, doktor peribadi Michael Jackson, Conrad Murray memberitahu polis dia bertanggungjawab memberi dadah tersebut kepada Michael pada pagi sebelum penyanyi terkenal itu meninggal dunia.

Conrad menjelaskan tujuannya berbuat demikian adalah untuk merawat penyakit insomnia yang dihadapi Michael.

Pendedahan itu menjelaskan mengapa polis menangguhkan untuk membuat pengumuman mengenai laporan toksikologi Michael dan tujuan mereka membuat serbuan di rumah dan pejabat Dr Conrad.

Detektif yang menyiasat rumah sewa Michael selepas kematiannya menemui lapan botol propofol dan juga beberapa pil preskripsi yang lain.

Laporan tersebut menyatakan: "Ketua Koroner Perubatan yang menyiasat kes kematian Michael Jackson, Dr Sathyavagiswaran, menjelaskan hasil ujian toksikologi Michael menunjukan kematiannya adalah disebabkan kandungan propofol yang terlalu tinggi."

Dr. Conrad Murray dikatakan bertanggungjawab terhadap kematian Michael Jackson. foto-REUTERS

Dr. Conrad juga sebelum ini memberitahu pegawai penyiasat bahawa dia sedang merawat penyakit insomnia Michael selama lebih enam minggu.

Beliau memberikan penyanyi itu 50 miligram Propofol setiap malam mengunakan titisan intravena.

Bagaimanapun Dr. Conrad yang juga seorang kardiologis risau Michael akan ketagihan anestatik.

Menurut Conrad lagi, pada pagi sebelum kematian Michael, dia terpaksa memberi Michael 25 miligram propofol selepas semua ubat yang dicubanya gagal membuatkan penyanyi terkenal itu tidur.

Beliau menghubungi paramedik selepas mendapati Michael tidak lagi bernafas.

Polis tiba di rumah Michael pada pukul 12.30pm dan beliau disahkan meninggal dunia sejurus selepas tiba di hospital.

-mstar.com.my-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan