Zulkifli Sulong | |
KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Laporan media kononnya Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Umno mengamalkan 'Islam Palestin' jauh sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Mursyidul Am PAS itu. "Yang dimaksudkan oleh Tok Guru adalah 'Islam plastik' bukan Islam Palastin," kata Exco kanan kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa. Beliau berkata demikian ketika melancarkan buku karangan Nik Aziz, 'Dengan NamaMu aku hidup, Asmaul Husna' di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) pagi tadi. Husam menyatakan hal ini di tengah-tengah pengunjung yang lebih 80 peratus dari mereka adalah Cina kerana Bookfest 2009 adalah anjuran sebuah rangkaian kedai buku, Popular Book yang memberikan fokus kepada orang Cina. Husam dipercayai mengulas laporan media yang melaporkan Nik Aziz menganggap Islam yang diamalkan Umno sebagai Islam Palestin. Ia telah dianggap oleh para pemimpin Umno kemudiannya sebagai PAS menghina Islam yang diamalkan oleh penduduk negara yang sedang bergolak itu. (Husam berdiri di sebelah banting buku yang dilancarkannya. Di sebelah beliau adalah Anual Bakri Haron, Setiausaha Politik Nik Aziz) "Apabila saya baca transkrip kenyataan Tok Guru, media membuat laporan yang salah apabila berkata dia mendakwa Umno laksana Islam Palestin. Sebenarnya Tok Guru kata Islam plastik bukan Islam Palestin. "Jauh tu beza antara Islam Palastine dengan Islam plastik," kata Husam dalam ucapannya itu. Husam tidak mengulas apa itu Islam Plastik tetapi difahamkan ia adalah Islam tidak asli sebagaimana beza antara bunga plastik dengan bunga asli. Husam dalam ucapannya juga berkata, buku yang ditulis oleh Nik Aziz berdasarkan kuliah beliau ini adalah satu ilmu yang ditulis berdasarkan ilmu dan amalan yang dilakukan oleh Nik Aziz dalam membentuk masyarakat negara ini. Buku ini, katanya, bakal menjadi warisan sejarah yang akan dihargai oleh semua kaum di negara ini. "Saya percaya buku ini bakal menjadi khazanah besar apabila penulisnya sudah tidak ada nanti. Jadi ambillah kesempatan semasa penulisnya hidup untuk membaca ilmu yang sangat luas ini," katanya. Beliau mencadangkan agar buku ini diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin selain Inggeris dan Tamil. Beliau juga mencadangkan agar semua pihak membaca buku mengenai nama-nama Allah ini khasnya ahli politik, peniaga, wartawan dan sebagainya agar ilmunya dapat membetulkan manusia. "Saya percaya media perkauman yang ada di negara ini akan berubah kalau memahami dengan baik nama-nama Allah ini. Mereka jadi begitu kerana tidak diikat oleh Asmaul Husna Allah," katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan