UBN Najib Altantuya: Mat Jenin Umno Selangor

ROSLAN SHAHIR
Pagi tadi seorang wartawan dari akhbar harian berbahasa Cina menghubungi saya melalui telefon. Beliau ingin bertanya tentang desas-desus kononnya akan ada beberapa ADUN PR Selangor termasuk dari PAS yang akan berpaling tadah melompat menyertai BN. Jika ini berlaku apakah kerajaan PR Selangor akan menanggung nasib yang sama sebagaimana kerajaan PR Perak?

Saya beritahu padanya yang saya tahu insyallah tidak ada seorang pun ADUN PAS Selangor yang berhajat untuk melompat menyertai Umno atau menyokong BN. Saya percaya DAP dan PKR juga begitu. Tetapi saya sekadar boleh memberi komen tentang mereka yang dari parti saya.

Komitmen dan pegangan politik orang-orang PAS berlainan dengan mana-mana parti siyasah dalam negara. PAS adalah sebuah gerakan Islam, menegakkan perjuangan bertunjangkan aqidah, sesiapa yang lari dari perjuangan pasti menempah bala dan laknat sepanjang hidupnya dan akan berdiri bertanggungjawab di hadapan Allah swt kemudian hari.

Saya memberikan keyakinan bahawa ADUN-ADUN PAS sungguh komited dalam perjuangan samada yang EXCO mahupun ADUN biasa. Malah begitulah sebahagian besar EXCO dan ADUN PR Selangor. Untuk menjatuhkan sesuatu yang telah baik adalah sungguh malang dan saya yakin rakyat tidak akan dapat menerimanya.

Saya percaya kakitangan kerajaan dan mereka yang biasa mengikuti perkembangan MB dan EXCO-EXCO BN Selangor dahulu dapat buat bandingan jika mereka turut mengikuti perkembangan MB dan EXCO-EXCO PR. Rata-rata MB dan EXCO kini bekerja tidak kenal penat lelah. Saya belum bertemu mana-mana EXCO PR yang meninggalkan pejabatnya pada waktu pejabat melainkan kerana ada tugas luar. Lewat malam pun EXCO-EXCO PR masih bekerja mengalahkan menteri pusat, ini kenyataan!

Demikian juga ADUN-ADUN PR Selangor. ADUN-ADUN PAS begitu cekal dan gigih bekerja kerana PAS berjuang lebih 50 tahun di Selangor cuma kali ini kita berpeluang memerintah. Sudah pasti peluang yang Allah swt berikan ini akan digunakan sebaik mungkin untuk memartabtakan Islam walau dalam ruang yang terbatas.

Saya tidak nampak seorang pun ADUN PAS Selangor yang tidak serius dalam menjalankan tugasnya sebagai ADUN, malah dari maklumat yang saya terima diperingkat akar umbi, rata-rata semua mengalu-alukan dan memandang tinggi terhadap khidmat bukan sahaja EXCO-EXCO PAS termasuklah ADUN-ADUN nya, ahli-ahli majlis PBT nya, Ketua-ketua Kampungnya , JKKK semuanya berbeza dari zaman Umno.

Kalau begitulah kejayaan dan pencapaian PAS Selangor melalui PR dalam waktu yang sangat singkat ini, saya tidak nampak mengapa rakyat mahu melihat kerajaan ini jatuh melalui “politik pintu belakang” sebagaimana di Perak. Malah kalau diberi peluang sekali lagi berdasarkan rekod pencapaian yang ada saya yakin kerajaan ini akan bertahan lagi pada PRU yang akan datang insyallah.

Kepada rakan wartawan tadi saya berani memberi jaminan kalau ADUN-ADUN PAS yang lapan di Selangor, insyallah semuanya akan tetap dan istiqomah dalam perjuangan. Umno dan BN janganlah berangan-angan Mat Jenin di Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan