UBN Najib Altantuya: Najib Razak lebih malang berbanding Abdullah Badawi

Muhamad Yusri Amin

TUMPAT, 5 Ogos (Hrkh) - Mungkin nasib malang menimpa Dato' Seri Najib Razak apabila rakyat belum berminat kembali kepada Umno sebagaimana berlaku di awal pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sedangkan di era permulaan pemerintahan Abdullah Umno dan Barisan Nasional (BN) mendapat lonjatan luar biasa sehingga berjaya merampas semula Terengganu dan hampir menumbangkan PAS di Kelantan pada pilihan raya umum 2004.

Namun situasi itu tidak berlaku sekarang, malah rakyat terus mengekalkan mementum Mac 2008 apabila enam pilihan raya kecil yang diadakan selepas itu memperlihatkan penolakan rakyat terhadap Umno dan BN.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Kamarudin Jaffar berkata, sedangkan sejarah pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini jarang sangat menyebelahi pakatan pembangkang.

"Umno ternyata gagal mempertahankan kerusi parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil yang diadakan awal tahun ini.

"Ini suatu perubahan yang belum kita lihat dalam sejarah politik Malaysia," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Pengurniaan Diraja Peringkat Jajahan Tumpat 2009 di Pantai Seri Tujuh dekat sini, baru-baru ini.

Oleh itu Kamaruddin yang juga anggota parlimen Tumpat berkata, Najib sekadar meneruskan kelemahan mantan Perdana Menteri sebelum ini.

Menurutnya situasi serupa juga dijangka berulang di Permatang Pasir, Pulau Pinang pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi berikutan kematian penyandangnya, Dato' Mohd Hamdan Abdul Rahman.

"Ketika pilihan raya kecil di Penanti BN tidak meletak calon dengan alasan tidak mahu membazirkan wang sehingga menjejaskan imej parti pemerintah di negara ini.

"Sedangkan perlembagaan negara menjelaskan sekiranya berlaku kekosongan, mesti diadakan pilihan raya tanpa mengira penyandangnya meninggal dunia atau meletak jawatan," katanya.

Beliau juga berkata, biar pun Umno dapat meningkatkan jumlah undi pada pilihan raya kecil di Manek Urai 14 Julai lalu, namun ia tidak menjadi ukuran sebenar kerana penggunaan jentera kerajaan begitu berleluasa sekali.

"Pada saya Manek Urai bukan contoh kelemahan PAS, tetapi sebaliknya menggambarkan kekuatan PAS mempertahankan serangan yang begitu hebat dan tidak demokratik daripada Umno-BN.

"Mereka menggunakan seluruh jentera kerajaan pusat dan menyogok wang begitu besar kepada pengundi," ujarnya.

Pada pilihan raya kecil tersebut PAS berjaya mempertahankan Dun Manek Urai dengan majoriti 65 undi melalui calon, Mohd Fauzi Abdullah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan