Mohd Khalil Abdullah | |
KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Kemenangan mutlak buat Pakatan Rakyat. Rakyat makin matang dan tidak tertipu dengan dakyah Umno-Barisan Nasional (BN). Walaupun berdepan dengan pelbagai tipu helah dan taktik kotor BN, namun kemenangan jelas berpihak kepada Pakatan Rakyat. Pilihan raya kecil Permatang Pasir yang telah meletakkan Ustaz Mohd Salleh Man sebagai Adun yang sah membuktikan rakyat terutama pengundi di kawasan tersebut mulai muak dengan permainan politik yang kotor oleh Umno-BN. Rakyat mulai sedar dan memberi mesej jelas kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak bahawa corak dan gaya yang dibawa melalui kepimpinannya bukan lagi sebagai 'candu' yang ditagih oleh rakyat. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan penolakan demi penolakan rakyat terhadap Umno dalam siri pilihan raya kecil sebagai isyarat mereka tidak menerima dasar kebangsaan parti itu. Ketika mengulas kemenangan PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir beliau berkata, salah satu punca kekalahan Umno di DUN berkenaan ialah dasarnya yang bercanggah dengan Islam. "Penolakan-penolakan yang begitu banyak terhadap Umno ni satu daripada sebabnya berpunca daripada dasar yang dibuat parti Umno. Parti yang memerintah sekarang ni tak betul dengan dasar Islam. "Kelantan telah hampir 20 tahun guna dasar Islam dengan segala praktikalnya. Alhamdulillah dapat penerimaan daripada semua bangsa dan agama," ujar Menteri Besar Kelantan itu kepada pemberita selepas mesyuarat exco di pejabat setiausaha kerajaan baru-baru ini. Dalam pada itu, penolakan demi penolakan serta kemenangan berturut-turut yang diperolehi Pakatan Rakyat dalam siri pilihan raya kecil adalah mesej dan amanat jelas untuk Najib dan barisan kepimpinannya dalam Umno-BN bahawa politik perkauman dan pembunuhan karektor tidak lagi menjamin peratusan undi bagi mereka. "Meskipun berbulan-bulan diasak fitnah sebagai pengkhianat bangsa dan berhadapan pembelotan, jelas kemenangan ini membuktikan rakyat menolak politik acuan pimpinan Umno-BN yang memecahbelahkan,"jelas Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan semalam. Isu pengkhianat bangsa yang ditonjolkan oleh pimpinan BN-Umno jelas memakan diri sendiri apabila rakyat terutamanya pengundi di Permatang Pasir memberikan undi yang tidak berbelah bagi terhadap calon PAS, Ustaz Salleh Man. Rakyat sudah boleh menilai siapa pengkhianat sebenar apabila Anwar dalam siri ceramah dan kenyataan media mendedahkan isu penjualan tanah bangsa kepada tauke judi seperti di Genting Highlands. Bagi diri Anwar, kemenangan dalam pilihan raya ini jelas menzahirkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap Pakatan Rakyat. "Ia juga hasrat mereka (rakyat) yang sentiasa bergelora mahukan perubahan dan melihat masa depan Pakatan Rakyat yang lebih gemilang,"katanya. Apa yang jelas kemenangan di Permatang Pasir adalah tamparan hebat kepada pimpinan Najib. Ini disebabkan dalam tempoh 144 hari sebagai Perdana Menteri keenam, rakyat mula melihat dan jelak dengan gaya yang ditunjukkan Najib dan menolak politik perkauman yang cuba dimainkannya. "Pengundi di Permatang Pasir memberikan sokongan jelas kepada Pakatan Rakyat walaupun Umno-BN melalui kempen terdesak mereka cuba memainkan isu perkauman dan agama,"jelas Penasihat dan tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang dalam blog peribadinya baru-baru ini. Walaupun Umnno-BN cuba untuk menjadikan Permatang Pasir sebagai 'Manek Urai' yang didakwa sebagai 'kalah tetapi menang' namun, secara realitinya ia tetap sebagai satu kemenangan mutlak Pakatan Rakyat yang 'membelasah' 7-0 dalam siri pilihan raya kecil sejak tsunami pilihan raya ke-12 lalu. Pilihan raya kecil Permatang Pasir yang merupakan pilihan raya kali kelapan diadakan selepas pilihan raya umum pada 2008. Ianya menyaksikan kekalahan Umno BN buat sekian kalinya dengan majoriti besar iaitu sebanyak 4551 undi. Calon PAS Ustaz Salleh Man mendapat 9618 undi manakala calon BN, Rohaizat Othman mendapat 5067 undi. BN hanya menang di DUN Batang Ai sementara di DUN Penanti, mereka tidak meletakkan calon. Dalam lapan pilihan raya kecil iaitu tiga parlimen dan lima DUN yang ditandingi jelas menyaksikan rakyat menolak Umno BN walaupun pimpinan parti itu tetap mengatakan bahawa mereka masih diterima rakyat. Bermula di Parlimen Permatang Pauh, menyaksikan Anwar mendapat majoriti yang besar iaitu sebanyak 15,671 undi mengalahkan calon BN, Dato' Arif Shah Omar Shah. Di Parlimen Kuala Terengganu pula, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut menang dengan majoriti 2,631 undi menewaskan calon BN, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh. Seterusnya tiga pilihan raya kecil yang berlangsung serentak iaitu di Parlimen Bukit Gantang, Dun Bukit Selambau dan Dun Batang Ai menyaksikan Pakatan Rakyat menang dua daripadanya. Di Bukit Gantang,Dato' Seri Muhammad Nizar Jamaluddin mengalahkan calon BN, Ismail Saffian dengan majoriti 2,789 undi. Di Dun Bukit Selambau pula calon PKR S.Manikumar mengalahkan calon BN, Dato' S.Ganesan dengan majoriti 2,403 undi. Manakala BN hanya menang di Dun Batang Ai apabila calonnya Malcom Mussen Lamoh mengalahkan calon PKR Jawah Gerang dengan 1854 undi. Atas pelbagai alasan, BN membuat keputusan tidak meletakkan calon di DUN Penanti. Seterusnya di Dun Manek Urai, calon PAS tetap berjaya menewaskan calon BN walaupun hanya dengan majoriti 65 undi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan