Hari memperingati al-Quds wadah penyatuan umat

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 14 Sept: Hari memperingati al-Quds yang diisytiharkan oleh bekas pemimpin Republik Islam Iran, Almarhum Ayatullah Khomeini mampu menjadi wadah untuk penyatuan seluruh umat Islam kerana penyatuan umat menjadi syarat untuk membebaskan Palestin yang ditakluk Zionis.

Ketua pengarah pusat kebudayaan Iran di Malaysia, Hujjatul Islam Mohammad Hassan Vahedi menegaskan demikian dalam ucapannya pada majlis berbuka puasa dengan media yang diadakan di kedutaan Iran di sini hari ini.

Menurutnya, penyatuan umat Islam seluruh dunia amat penting untuk membina kekuatan menghadapi musuh sebenar yang mempunyai kekuatan ekonomi, politik dan ketenteraan untuk melemahkan umat.

"Hari memperingati al-Quds yang diisytiharkan oleh Imam Khomeini berlandaskan falsafah penyatuan umat Islam, kerana melalui penyatuan umat sahaja kita akan mendapat kekuatan untuk menghadapi musuh sebenar, Zionis," kata Mohammad Hassan.

Hari memperingati al-Quds diisytiharkan oleh Almarhum Ayatullah Khomeini disambut pada setiap hari Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan setiap tahun.

Katanya lagi, mengingati al-Quds ini bukan hanya satu retorik tetapi dilaksanakan oleh Iran dengan membina hubungan lebih rapat dengan negara-negara Islam lain.

"Iran telah mengambil inisiatif dengan menggerakkan usaha penyatuan antara mazhab-mazhab dalam Islam yang bertujuan untuk mencari persamaan dan membina penyatuan umat," katanya.

Menurut Mohammad Hassan, usaha penyatuan ini kini menyaksikan penyertaan hampir 200 orang ulama, iaitu seramai hampir 150 dari Iran dan 50 dari seluruh dunia Islam lain termasuk dari Malaysia.

Usaha mengumpulkan cendekiawan Islam seluruh dunia ini diharapkan akan dapat membina jalan ke arah mengukuhkan lagi penyatuan umat, sesuai dengan falsafah yang mendasari hari memperingati al-Quds yang disambut dalam bulan Ramadhan.

Mengulas hubungan dua hala Iran dengan Malaysia, Mohammad Hassan berkata usaha saling mengenali budaya kedua-dua negara boleh dilakukan melalui pusat kebudayaan Iran di Malaysia yang kini memasuki tahun kedua penubuhannya.

"Budaya mampu menjadi alat untuk mencari persamaan dan merapatkan lagi hubungan rakyat kedua-dua negara," katanya sambil menegaskan pentingnya negara-negara Islam membina hubungan yang lebih baik.

"Kami berharap hubungan kedua-dua Iran dan Malaysia akan terus kukuh pada masa akan datang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan