Berita ini saya ambil dari forum utaraonline
Setelah mendengar keluhan beberapa jawatankuasa Masjid Virginia tentang ruang yang semakin tidak mencukupi untuk bulan Ramadhan, Rabbi Robert Nosanchuk telah mengemukakan cadangan kepada jemaah Masjid Virginia agar menggunakan synagogue (kuil Yahudi) sebagai masjid.
Pertambahan umat Islam di Virginia, Amerika Syarikat dan ruang masjid yang amat terhad telah mendorong Imam Masjid Virginia iaitu Syeikh Mohamed Magid dan ahli jawatankuasanya bersetuju menerima pelawaan Rabbi Robert agar dapat bersolat jemaah di bangunan Northern Virginia Hebrew Congregation.
Rabbi Robert berpendapat Ramadhan adalah bulan yang mulia bagi umat Islam dan di dalam bulan ini jugalah jumlah pengunjung masjid yang datang beribadat meningkat dengan ketara. Ruang yang terhad di masjid asal mungkin sudah tidak selesa untuk beribadat, jadi mereka memberi inisiatif untuk membantu jemaah masjid Virginia di dalam bulan Ramadhan ini.
(Gambar) Imam Mohamed Magid (kanan) menerima lawatan Syeikh Ibrahim Muhammad al-Batawy dari Mesir untuk kuliah pembentangan kitab Ihya Ulumuddin pada Disember 2005.
Menurut Imam Mohamed Magid lagi, masyarakat sering melihat Yahudi-Islam sentiasa berkonflik khususnya di Amerika Syarikat. Mereka mengharapkan cadangan ini boleh mengubah persepsi tentang konflik tersebut khususnya golongan pemimpin-pemimpin politik yang bersifat rasisme.
Hubungan yang baik di antara masyarakat Yahudi-Islam kemungkinan akan menyukarkan pihak-pihak berfahaman rasis ini mengambil kesempatan untuk menabur jarum-jarum perpecahan.
Tahun 2009 ini adalah tahun pertama Masjid Virginia menyewa sebahagian ruang dari synagogue untuk melakukan solat tarawih. Para jemaah masjid mengumpul wang sendiri untuk membayar sewa ruang sembahyang tersebut yang dikenakan USD300 sehari. Solat terawih di Masjid Virginia itu berlangsung antara pukul 9.00 hingga 10.45 malam.
Kesefahaman antara komuniti Masjid Virginia dan synagogue-synagogue kemungkinan akan diperluaskan lagi apabila kedua-dua komuniti tersebut bersetuju untuk menubuhkan satu yayasan persefahaman yang akan membuat lawatan rasmi ke Timur Tengah tidak lama lagi.
Umar Al-Khattab bersolat di Gereja
Di dalam kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’, tulisan as-Syeikh Muhammad bin al-Afifi al-Banjuri, terbitan Darul Ibnu Hazim, ada dijelaskan tentang kisah Saidina Umat Al-Khattab bersembahyang di gereja di Baitulmaqdis.
“Dan apabila masuknya Saidina Umar ke dalam kota, maka masuklah beliau ke dalam Kanisah (gereja) al-Qiamah, dan beliau duduk di ruang utama gereja tersebut. Setelah tiba waktu solat asar, maka berkata Saidina Umar kepada Patriach Kanisah tersebut, “Saya ingin mengerjakan solat.” Jawab Patriach: “Solat sahajalah di sini”.
Tetapi Umar menolak cadangan Patriach dan solat (di luar) di tangga yang berada di hadapan pintu gereja tersebut secara bersendirian. Selepas beliau menyelesaikan solat asar, beliau (masuk kembali lalu) berkata kepada Patriach al-Quds :
“Sekiranya saya mengerjakan solat tadi di dalam gereja tuan, saya merasa pasti bahawa umat Islam pada zaman akan datang akan menyatakan bahawa Saidina Umar mengerjakan solat di dalam gereja ini, maka kita boleh menukarkan gereja ini kepada masjid untuk melaksanakan solat di dalamnya”.
(Kitab Itmam al-Wafa’ fi sirah al-Khulafa’)
Persoalan persefahaman antara umat Yahudi-Islam juga bukanlah perkara baru. Di Palestin sendiri, sebelum kedatangan imigran Yahudi Eropah dan pengaruh Zionis, Arab Judais dan Arab Muslim hidup aman dan damai serta sering membantu di antara satu sama lain. Dasar Zionis yang mengamalkan pecah dan perintah (divide & conquer) telah mengubah situasi aman tersebut kepada suasana rasisme yang kronik.
Tambahan pula tahun ini, umat Yahudi beragama Judais akan menyambut sambutan Rosh Hashanah (Tahun baru) pada 21 September 2009 (Isnin). Manakala umat Islam pula akan menyambut Hari Raya Puasa pada 20 September 2009 (Ahad).
Tempoh puasa yang tamat sebelum perayaan tahun baru Judais ini sudah pasti satu hikmah besar dari Allah dalam membantu perjuangan umat Islam di Virginia meneruskan ibadah solat tarawih walaupun terpaksa membayar wang untuk melakukan ibadat tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan