Masyarakat 'nyah-peka' tragedi Nurin, Sharlinie

Azamin Amin

Tahun ini merupakan Ramadan yang ketiga, si comel Nurin Jazlin Jazimin meninggal dunia pada 17 September 2007 setelah dia hilang, diculik lalu dibunuh kejam.

Kisah ini cukup sakit dan mengerikan. Menyusul pula, tragedi kehilangan Sharlinie Mohd Nashar, yang tiada khabar berita sehingga kini.

Nama-nama dan wajah-wajah tidak berdosa ini, masih segar diingatan namun setakat manakah kisah pilu ini menjadi pengajaran? Atau sekadar takut dan waspada bermusim sahaja jadi pegangan. Lihatlah keliling-kelalang betapa ramai yang alpa dan acuh tidak acuh dengan keselamatan anak-anak mereka ketika berada di luar.

Buktinya, lihat sendiri di pasar raya, pusat membeli belah, pasar malam atau bazar Ramadan. Betapa ramai yang 'berenggang' dengan anak-anak, malah ada yang tercicir di belakang, mengekori ibu ayah yang leka membeli. Lebih dukacita, ada yang sanggup meninggalkan anak di rumah atau dalam kereta tanpa pengawasan sesiapa.

Senario itu, berubah seketika pada 20 Ogos 2007, tatkala Nurin hebah diculik sewaktu pergi ke pasar malam berdekatan rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Masyarakat mula berhati-hati saat itu.

Kemudian Syarlinie, kanak-kanak perempuan berumur 5 tahun telah dilaporkan hilang di Taman Medan, PJS2, Petaling Jaya kira-kira pukul 11.30 pagi, 9 Januari 2008. Sharlinie atau Nini telah hilang semasa bermain bersama-sama kakaknya Sharliena 8 tahun di taman permainan yang terletak 200 meter dari rumah mereka.Image

Hanya waktu itu sahaja, ketika kes culik dan hilang memuncak, masyarakat benar-benar 'prihatin' dan sikap tidak pernah melepaskan genggaman telapak tangan anak cukup menarik perhatian. Saat itu, pelbagai nasihat dan saranan dicurahkan pada anak, agar menjauhi oarang yang dicurigai, malah setiap gerak geri si kecil ini, sentiasa ayah ibu awasi.

Namun, ianya tidak berkekalan, apabila sikap 'tidak apa' kembali wujud dalam diri masayarakat. Anak-anak kini bermain sesuka hati di mana-mana sahaja, tanpa sesiapa pun peduli. Ketika ghairah membeli atau bercuti, anak-anak kecil tidak berdosa ini, selalu tercicir sendiri.

Perkara ini diakui sendiri oleh Penganalisa Jenayah Kamal Effendi Hashim yang melihat masyarakat sudah mula 'nyah-peka' dan tidak menunjukkan tahap kesedaran yang tinggi terhadap keselamatan anak-anak mereka.

"Mula-mula, masyarakat tersedar dari tidur, kemudian...mereka kembali semula kepada pemikiran konservatif dan asal, iaitu, setiap kejadian hilang dan culik hanya akan berlaku kepada orang lain, bukan kepada diri mereka sendiri.

"Sebenarnya, kalau kita tidak berhati-hati walaupun sesaat...maka sesaat itulah yang diperlukan oleh penjenayah untuk melakukan kerja mereka.

"Dan kita yang sebenarnya mencipta ruang jenayah kepada penjenayah. Sejujurnya, tahap kesedaran keselamatan masyarakat masih tidak berubah dan membimbangkan," katanya ketika ditemubual oleh Harakahdaily sebentar tadi.

Beliau yang begitu ramah dalam perbualan, senantiasa terbuka untuk mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengannya berkongsi maklumat, pengalaman dan tips bagi mengelakkan kejadian jenayah berlaku.Image

"Setakat yang aktif ialah An-Nisa, yang sentiasa menjemput dan mengadakan program. Badan-badan lain khususnya pertubuhan politik masih lagi dingin terhadap kursus, seminar dan dialog pencegahan jenayah.

"Saya berharap, langkah-langkah pencegahan jenayah ini, melepasi sempadan politik dan kepartian kerana ianya untuk keselamatan masyarakat sejagat dan harapan saya ini akan berubah," kata Kamal (gambar)yang begitu padat dengan jadual aktiviti jemputan taklimat pencegahan jenayah.

Berikut adalah Tips mengesan dan mengelak kejadian penculikan dan kehilangan kanak-kanak oleh Kamal buat ibu bapa dan masyarakat supaya semua pihak mengetahui langkah-langkah 'Standard Operation Prosedure' (SOP) untuk mengesan dengan segera atau menemui mangsa penculikan dalam jangka masa terdekat seterusnya menyelamatkan nyawa mereka.

Berikut adalah antara tips dan langkah-langkah pencarian segera mangsa culik:-

Pada 45 minit pertama kehilangan kanak-kanak
1. Buat laporan awal dan menghubungi balai polis berdekatan, bilik gerakan daerah
2.Laporkan segera supaya dapat dimaklumkan kepada kereta peronda dan polis bertugas
3. Walaupun laporan lazimnya dibuat selepas 24 jam kehilangan tetapi bukan satu kesalahan buat laporan awal
4. Maklum kepada jiran sebelah,terdekat, ketua kampung atau blok
5. Buat persempadanan pencarian segera dalam sekitar dua kilometer
6. Nyatakan nama, pakaian terakhir yang dipakai, perawakan dan ketinggian kanak-kanak
7. Hubungi segera talian NUR 15999 kerana hebahannya akan lebih drastik
8. Edar gambar kanak-kanak tersebut sekitar lima ke 10 kilometer daripada rumah keluarga mangsa
9. Edar gambar ke stesyen minyak, kedai serbaneka, rumah tumpangan, hotel, kedai makan khususnya kedai makanan segera.
10. Andaikan, untuk tutup mulut atau hentikan tangisan kanak-kanak, penjenayah akan membelikan makanan
11.Tampalkan juga di syarikat penghantaran makanan segera sebab kemungkinan penjenayah memesan makanan daripada tempat persembunyian.

Dua jam kemudian
1. Meluaskan lokasi pencarian ke kawasan yang 'di luar jangkaan'
2. Cari tempat yang tidak terlintas difikiran akan menjumpai mangsa.
3. Cari ke kawasan semak belukar, rumah kosong, perkuburan, stesyen bas, teksi dan keretapi.
4. Jangan abaikan tempat seperti bangunan sub-stesyen seperti janakuasa elektrik, kawasan tangki air walaupun itu tempat larangan.
5.Ambil kira faktor kecurigaan terhadap kediaman atau rumah yang disyaki ada penghuni tetapi sentiasa ditutup dan tidak menampakkan sebarang aktiviti langsung namun kelihatan sesekali kelibat inidividu keluar masuk.
6.Edarkan Poster ke sebanyak tempat mungkin

Mengenal pasti seseorang itu 'sedang diculik' atau jadi mangsa jenayah
1.Dalam kenderaan persendirian,melihat orang dewasa duduk di belakang bersama dan sedang memegang seorang kanak-kanak dan budak itu dalam raut ketakutan, diam atau pun menangis.
2.Dalam bas atau kenderaan awam, orang dewasa itu sentiasa memegang kejap dan erat kanak-kanak itu
3. Sentiasa menengking dan menyuruh kanak-kanak itu supaya mendiamkan diri
4. Dilihat antara orang dewasa dan kanak-kanak itu tidak mesra seolah-olah tidak ada hubungan kekeluargaan sesama mereka.

Lokasi mudah penculikan
1.Tempat yang wujudnya komunikasi atau interaksi dengan mangsa seperti taman permaianan, pusat beli-belah, kunjungan pasar malam.
2.Tempat yang tiada pengawasan ibu bapa
3.Cybercafe
4 .Tempat ibadah seperti masjid dan kuil juga tidak terkecuali daripada menjadi antara lokasi mudah untuk penculikan

Elakkan memberi wang ganjaran dan guna khidmat bomoh
1.Beri ganjaran selepas mangsa atau kanak-kanak itu ditemui bukannya sebelum itu.
2. penjenayah yang pertama kali menculik, akan membuat dia lebih tertekan kerana merasakan ramai orang memburunya
3. hasilnya penjenayah akan terus 'menyimpan' atau melepaskan mangsa.
4. penjenayah mengambil tindakan yang tidak diingini
5. bagi penjenayah yang berpengalaman, ganjaran ini semakin mengundang bahaya kepada mangsa.
6. jangan para bomoh, paranormal atau dukun memberi harapan palsu kepada keluarga mangsa dengan memberi jaminan bahawa mereka boleh menemui kanak-kanak tersebut.
7.ikhtiar cara yang diredhai oleh Allah SWT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan