Mohd Nor Yahya & Zuharman MN | |
KOTA BHARU, 17 Sept: Tiada yang ungkapan yang mampu diluahkan biar pun masih terlantar di katil hospital apabila pesakit dikunjungi Menteri Besar. Lebih-lebih lagi beberapa hari lagi menjelang 1 Syawal, ketika suasana Aidilfitri semakin terasa. Kedatangan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika sakit belum reda, menjadi ubat mustajab bagi mereka. Lebih-lebih lagi turut dihadiahkan buah tangan. Semalam Menteri Besar bersama anggota-anggota Exco dan Persatuan Isteri Wakil Rakyat Kelantan dan Pegawai Kanan Kerajaan (Purnama) mengagihkan hamper kepada pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (HRPZ) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). Hadir sama di HUSM anggota-anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah, Mejar(B) Md Anizam Abdul Rahman, Abdul Faftah Mahmood, Che Abdullah Mat Nawi, Dr Muhammad Fadzli Hassan, Wan Ubaidah Omar dan Senator Mumtaz Mohd Nawi. Ketika menyampaikan hamper di Wad 3S Menteri Besar berharap pesakit sentiasa berdoa dan tidak putus asa bagi menghadapi dugaan dari Allah SWT. Beliau juga mendoakan agar pesakit mendapat rahmat dan cepat sembuh. Seramai 140 pesakit di tujuh wad dilawati rombongan kerajaan negeri. Kehadiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz disambut Timbalan Pengarah Klinikal HUSM, Dr Mohd Rosdi Abdul Rahman dan Pegawai Perhubungan Awam, Norhasniza Zakaria. Dr Mohd Rosdi mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan kerajaan negeri terutamanya menjadikan acara menziarahi pesakit di HUSM sebagai program tahunan. "Ini sedikit sebanyak dapat menjadi penawar kepada pesakit yang menderita pelbagai jenis penyakit," ujarnya. Manakala di HRPZ rombongan Purnama diketuai Isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak menyampaikan hamper hari raya kepada pesakit. Sementara itu dalam perkembangan lain Urusetia Kerajaan negeri Kelantan (UPKN) mengadakan majlis berbuka puasa bersama media di sebuah hotel petang semalam. Hadir sama wartawan akhbar berbahasa Cina. Dr Fadzli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi ketika bercakap pada sidang media berkata, majlis Mesra Aidilfitri bersama pimpinan kerajaan Kelantan akan diadakan pada malam 2 Syawal. Katanya, dijangka lebih 1,500 anak Kelantan di perantauan hadir pada majlis yang akan diadakan di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC) bermula jam 8.45 malam. "Program ini diadakan setiap tahun dan kini memasuki tahun ke 17 mendapat kerjasama sepenuhnya Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakan)" ujar beliau. Menurutnya program tersebut akan diselit dengan penayangan multimedia mengenai pembangunan dan pentadbiran Kelantan. Manakala di majlis berasingan di Semerak, Pasir Puteh seramai 430 armalah, 130 anak yatim dan 18 pesakit kronik menerima sumbangan daripada Adun kawasan itu, Wan Hassan Wan Ibrahim. Wan Hassan berkata, tahun ini sebanyak RM60,000 diperuntukan kerajaan negeri bagi membantu golongan tersebut membuat persediaan menyambut hari raya. Pada majlis itu juga beliau melancarkan Kelab Kebajikan Armalah dan Anak Yatim Dun Semerak. Menurutnya juga lebih 2,000 ibu tunggal di Semerak berpeluang menceburi aktiviti ekonomi khususnya berkaitan pemprosesan hasil laut. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan