Abdul Aziz Mustafa | |
KUALA LUMPUR, 24 Sept: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berharap Umno berjaya mengemukakan calon yang bebas politik wang dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang 11 Oktober ini. Beliau berharap Umno mempunyai calon yang bersih dari politik wang untuk memenuhi keinginan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menekankan supaya Umno memilih calon yang bebas politik wang untuk pilihan raya itu. "Sebelum ini, Dr Mahathir menyatakan bahawa 'Umno sudah jadi parti perasuah'. Mungkin hari ini Umno bukan lagi parti perasuah dan sebab itulah bekas Perdana Menteri menekankan supaya Umno tampil dengan calon bebas politik wang dalam pilihan raya Bagan Pinang. "Mungkin juga Umno Bahagian Telok Kemang (di mana kawasan DUN Bagan Pinang berada) tidak pernah mengamalkan politik wang dan tokoh-tokoh Umno di bahagian itu bebas politik wang semuanya," kata Salahuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS bagi pilihan raya kecil tersebut. Mengenai persediaan PAS menghadapi pilihan raya itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, pihaknya akan megggerakkan seluruh kekuatan untuk mengajak rakyat di Bagan Pinang supaya bersama-sama dengan kehendak rakyat. "Kita yakin rakyat di Bagan Pinang tidak mahu ketinggalan untuk bersama-sama dengan kehendak rakyat yang menolak Barisan Nasional (BN) dalam tujuh dari lapan pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas. "Malah di dalam kawasan Telok Kemang sendiri pun, tiga dari lima kawasan DUN di situ serta kerusi Parlimennya dimenangi oleh Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu. "Saya yakin sepenuhnya rakyat Bagan Pinang akan bersama-sama dengan kehendak rakyat hari ini yang menolak BN," kata beliau. Dalam pilihan raya umum yang lalu, selain kerusi Parlimen Telok Kemang, kerusi-kerusi DUN Chuah, Lukut dan Port Dickson dalam kawasan Parlimen itu dimenangi oleh PR. "Saya juga yakin, rakyat Bagan Pinang tidak sanggup menerima Umno yang pernah disebut sebagai parti perasuah oleh bekas Presidennya sendiri. "Pandangan Dr Mahathir itu malah dikongsi oleh bekas Bendahari Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang berkata, punca rasa tidak puashati rakyat terhadap BN itu adalah persepsi bahawa mereka yang memegang kuasa adalah angkuh dan korup. "Rakyat boleh melihat dengan terang dan nyata hakikat itu dan bukti terbaru dapat dilihat sendiri oleh mereka dalam dokumen kabinet mengenai Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) yang menunjukkan dengan jelas bahawa kabinet kerajaan Umno dan BN melakukan penyelewengan dan merestui rasuah," katanya. Sebelum menekankan supaya BN meletakkan calon bebas politik wang, Dr Mahathir menolak pencalonan bekas Naib Presiden Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon BN dalam pilihan raya itu. Beliau berkata, imej Umno akan terjejas jika bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dicalonkan kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon. "Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini," kata beliau. Bagan Pinang mempunyai 13,664 orang pengundi dan 4,604 dari jumlah tersebut adalah pengundi pos. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan