Zainul Ariffin
NAMPAK semakin jelas salah satu isu utama untuk pilihan raya kecil Bagan Pinang ialah undi pos, dan bukannya soal pembangunan atau nasib rakyat. Undi pos, satu kemudahan yang diberikan terutama kepada anggota pasukan keselamatan yang perlu bertugas, sudah menjadi isu
Jika kita percaya teori konspirasi, kesangsian atas undi pos mungkin boleh menjadi salah satu langkah percaturan besar politik di dalam usaha menimbulkan kesangsian urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).Walau apa sekalipun, setiap pandangan dan kesangsian, yang bermotif politik atau tidak, mesti ditangani SPR. Jangan dibiar mereka menjadi penghakis tiang cerucuk kewibawaan institusi itu.
Bagan Pinang seolah-olah akan menjadi referendum di mana SPR akan dinilai, sama ada suruhanjaya itu betul-betul telus dan adil, atau di bawah telunjuk Barisan Nasional (BN) untuk menggunakan proses pengundian bagi menentukan kejayaan calon parti pemerintah.
Kata mereka, jika SPR telus dan adil, sudah tentu BN akan mengalami kekalahan yang teruk.
Itu adalah andaian politik yang mudah, tetapi cukup berkesan. Sebagai orang politik, ia adalah modal yang amat baik jika mereka boleh bercerita ke sana sini mengenang nasib mereka yang dianiaya kerja jahat SPR.
Cerita ini sudah dan sedang dicanang yang mana kesangsian mengenai ketelusan dan kesucian 4,604 undi pos di Bagan Pinang ditimbulkan.
Maka jika kalah calon pembangkang kita tahulah kenapa dan oleh siapa - sudah tentulah kerja SPR dan undi pos. Jika pembangkang menang, undi pos dan SPR juga boleh dituduh kerana jika mereka tidak dicabuli, sudah tentu pembangkang akan menang lebih besar!
Bukankah calon pembangkang juga adalah penerima undi daripada sistem ini? Adalah satu kebongkakan politik jika kita menganggap orang yang mengundi secara pos tidak akan memilih mereka yang menentang pembangkang, sama ada calon daripada parti kerajaan atau bebas.
Rasanya serangan awal terhadap SPR adalah satu kempen yang strategik dan berkesan untuk menimbulkan kesangsian terhadapnya. Ramai yang tidak faham apa itu undi pos dan bagaimana fungsinya pun, kini tertanya-tanya hal undi pos. Apa lagi jika calon pembangkang kalah, mestilah undi pos punya hal.
(Di dalam hal berkaitan, rasanya adalah baik jika parti politik boleh berkempen secara terbuka kepada anggota keselamatan kerana mereka juga adalah anggota masyarakat dan mempunyai aspirasi dan keinginan untuk bersama menentukan bentuk dan arah tuju kerajaan yang mereka ditugaskan untuk dipertahankan.)
Serangan terhadap SPR ini harus ditangani bukan kerana ia menyokong kerajaan atau tidak, tetapi ia amat penting untuk menentukan suruhanjaya itu wujud sebagai institusi yang dipercayai dan dihormati.
Jelas kini ada cubaan untuk menghakis kepercayaan rakyat terhadap SPR. Jika ia berlaku, maka jadilah kita seperti negara jiran yang mana keputusan siapa pun, sama ada mahkamah atau Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu, tidak dipercayai. Akhirnya bergilir-gilir protes di jalan raya, hari ini penyokong satu parti, esoknya parti lain pula.
Ini ialah kerana imej institusi dicabul dan kesangsian rakyat dibakar hingga memuncak. Ambil siapapun jadi ketua suruhanjaya dan apa sekalipun keputusan tidak akan diterima kerana oportunis politik berjaya menanam kesangsian dan kebencian di hati rakyat.
Namun demikian rasanya tidak terlambat untuk SPR menangani serangan ini. Cara yang paling baik ialah supaya ia menjadi ‘lebih terbuka daripada terbuka, dan lebih telus daripada telus.’
Maksudnya, walaupun leceh, SPR mesti menjemput pengkritiknya dan masyarakat umum untuk turut serta melihat bagaimana ia bekerja. Badan bukan kerajaan seperti Malaysian for Free and Fair Elections (Mafrel) dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), walaupun agenda politik sesetengahnya jelas, mesti dijemput memerhati setiap kerjanya dari sekarang hingga ke Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).
Jika undi pos yang menjadi isu, biarkan mereka mengikuti sepanjang proses dari membuang undi, hingga ke pengangkutan, penyimpanan ke pengiraan. Jangan dibiar apapun langkahnya menimbulkan kemusykilan.
Jemputlah semua media, arus perdana atau tidak, untuk bersama. Bukalah pintu kepada semua.
Begitu juga jika untuk isu daftar pemilih atau pengundi hantu atau pengundi berpindah dan lain-lain. Tangani secara terbuka dan telus. Ajaklah yang marah memberi cadangan, jika bagus, terima.
Bukan kita tidak percaya kepada Pengerusi SPR, tetapi bukan kata-katanya yang dipercayai pengkritik suruhanjaya. Yang lebih baik jika pengkritik, dari badan bukan kerajaan dan parti politik yang berkata SPR telus dan adil.
Kepada pihak SPR pula biarlah tindakan yang dilakukan konsisten, jika biasanya hari mengundi di hujung minggu, janganlah pula diubah hari atau dari satu kawasan ke kawasan lain. Jika pun diubah, berilah penjelasan yang baik, jika tidak orang akan tertanya-tanya dan syak wasangka.
SPR mesti faham bahawa setiap perbuatannya akan dinilai dan diberi makna berbeza oleh pihak yang berbeza. Jadi ia mestilah mencari keputusan dan cara operasi yang tidak boleh diolah untuk memberi makna berbeza dari seorang ke seorang yang lain.
Jangan jadikan isu undi pos salah satu modal politik yang akan menimbul syak wasangka di Bagan Pinang, dan seterusnya kesangsian terhadap keupayaannya berlaku adil dan saksama.
SPR mesti ingat setiap isu yang dibangkitkan adalah manifestasi kebimbangan dan kesangsian. Ia tidak boleh mengetepikan mereka walaupun dikatakan berbau politik. Ia tidak boleh semata-mata mengulang saja kata-kata ia telus dan adil.
SPR mesti berusaha menjelaskan dirinya dan seterusnya kalau boleh menjadikan pengkritiknya, yang lagi hebat lagi baik, untuk menjadi jurucakapnya pula!
Ambil peluang pilihan raya kecil Bagan Pinang yang mana tindakannya dipersoalkan, sebagai titik mula proses penjenamaan semula.
Jangan biarkan orang tertanya-tanya mengenai tindakannya kerana kesan jangka panjang amatlah berat untuk negara. Ini kerana jika kita mula sangsi, tiada siapa yang akan menang pada masa hadapan.
-detikdaily.net-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan