UBN Najib Altantuya: Hukuman sebat, apa agenda SIS? - Teras

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Tindakan Sisters in Islam (SIS) menfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan untuk semakan dan menangguhkan pelaksanaan hukum terhadap hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi dianggap sebagai satu agenda untuk menyekat sebarang hukuman jenayah berlandaskan syariah dikuatkuasakan di negara ini.

Menurut Presiden Teras,Mohd Azmi Abdul Hamid tindakan SIS adalah bersifat anti hukum syariah dan wajar dibantah dengan keras.

"Teras membantah keras niat SIS untuk terus bersikap anti hukum syariah. Pelaksanaan hukuman jenayah syariah adalah sah dan jelas termaktub dalam perlembagaan negeri dan Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh kerana itu tidak ada hak untuk SIS cuba menyekat pelaksanaannya hanya kerana ia dikatakan sedang didebatkan di peringkat masyarakat terbuka dalam negara dan luar negara,"jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Tambahnya, Teras mempersoalkan atas hak apa SIS beria-ia mahu menyekat pelaksanaan hukuman syariah di negara ini.

Dakwa Azmi,pemikiran Barat yang berlandaskan faham liberal dan melihat bahawa Islam adalah soal peribadi dan tidak berkait dengan soal negara dan undang-undang menjadi latar belakang fikiran SIS.

"Oleh itu tindakan pihak SIS untuk mengheret perdebatan kes Kartika kepada Mahkamah Tinggi Syariah hanya bertujuan untuk mempersoalkan bidangkuasa mahkamah syariah.

"Teras dengan ini mengesa supaya pihak kerajaan tindak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak. Undang-undang yang jelas diluluskan melalui perundangan negeri hendaklah dilaksanakan tanpa sebarang kekhuatiran.

"Walaupun enakmen jenayah syariah di peringkat negeri yang ada kini tidak seluruhnya menepati kehendak syariat Islam yang sebenar , namun bidangkuasa dan wibawa Jabatan Agama Islam dan mahkamah Syariah hendaklahlah dipertahankan,"tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan