Undi Pos: 3 lagi peraturan mengelirukan dikesan / UBN Najib Altantuya

Nazri Abdullah
BAGAN PINANG, 28 Sept: Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat terus mempertikai beberapa prosedur undi pos yang didakwa terus diguna untuk memberi kelebihan kepada parti politik pemerintah.

Terbaru mereka mengesan tiga lagi peraturan yang didakwa mengelirukan dan mengancam kebebasan anggota tentera menjalankan tanggungjawab.

Ketua Penerangannya, Suhaizan Kayat berkata, penemuan terbaru mendapati Suruhanjaya Pilihanraya SPR tidak mempunyai kuasa mutlak dalam kawasan kem tentera.

Sebarang penguat kuasaan peraturan pilihanraya tidak boleh dilakukan SPR tanpa kebenaran Pegawai Pemerintah setiap kem.

Ia juga bermakna, SPR perlu akur jika pegawai berkenaan menolak sebarang peraturan yang ditentukan SPR.

"Bila masuk dalam kem, SPR tidak boleh enforce (kuatkuasa) peraturan jika pegawai pemerintah kem tidak benarkan."

"Kuasa Pegawai Pemerintah lebih besar dari SPR, dia boleh untuk belakangi peraturan SPR," katanya ketika dihubungi.

Katanya, harapan melihat sistem undi pos lebih telus mungkin sukar jika kuasa mutlak menerima dan menolak sebarang peraturan terletak di tangan pegawai pemerintah tersebut.

Lagi peraturan undi pos sedang diteliti adalah berkaitan peraturan 7 (1), Peraturan Peraturan Pilihanraya (Pengundian Pos) 2003, antara lain menetapkan setiap buku kaunterfoli perlu ditulis nama dan nombor siri anggota tentera terbabit.

Ianya dilihat menyamai satu peraturan yang telah dimansuh oleh SPR pada tahun 2006 iaitu Peraturan 19(3), Peraturan Peraturan Pilihanraya (pengundian awam) yang sebelum ini mencatit nama dan nombor siri pengundi.

"Peraturan 7 (1) pada undi pos juga kita bantah. Kenapa masih ada peraturan tersebut sedangkan peraturan serupa telah dipinda pada pengundian awam.?" soalnya.

Satu lagi sedang dalam kajian adalah berkaitan perbezaan antara pengundian pos anggota polis dan tentera.

Kedua duanya mempunyai perbezaan khasnya adalah berkaitan kebenaran semakan borang undian oleh agen calon bertanding.

Mereka mendakwa pada undi pos tentera, agen calon tidak dibenar menyemak sama ada setiap kertas undi diberikan kepada anggota mengikut nama tertera atau tidak. Tiga penemuan terbaru itu menjadikan enam perkara kesemuanya yang dipertikai berkaitan undi pos.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan