Rizal Tahir | |
KOTA BHARU, 25 Okt: Kerajaan diminta berlaku adil serta memberi ruang yang secukupnya untuk menangani kematian Setiausaha Politik Exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock apabila 80% punca kematiannya kerana dibunuh. Pada masa yang sama kerajaan juga wajar berlaku adil serta membela kematian K Kugan yang didapati meninggal dunia dipercayai didera sewaktu dalam tahanan. Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata kenyataan ahli patologi terkenal dari Thailand Dr Prontihip Rajanasunand Rabu lalu yang mendakwa 80 peratus kematian mendiang Teoh kerana dibunuh adalah satu kenyataan yang serius. "Kerajaan seharusnya berlaku adil dalam menyiasat perkara itu serta pada masa yang sama Suruhanjaya Diraja untuk proses yang lebih adil dan cepat,'ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan menyokong titah ucapan Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra, dalam Sidang Dun Kelantan baru-baru ini. Menurutnya, kenyataan yang mengejutkan saksi luar negara itu amat mengejutkan seluruh rakyat di negara ini khususnya. "Kerana itu suruhanjaya khas perlu ditubuhkan demi menuntut keadilan, serta pada masa yang sama kes kematian K.Kugan juga wajar diberi pembelaan yang sama,"ujarnya. Dr Pornthip atau dikenali sebagai Dr Death di negara adalah ahli patologi yang telah memeriksa lebih 10,000 mayat dalam keriernya sebagai pakar forensik. Antaranya beliau berjaya menyelesaikan pengenalan mayat beribu-ribu mangsa tsunami di Thailand beberapa tahun lalu. Beliau memberikan keterangan dalam inkues kematian Teoh Beng Hock di mahkamah koroner Shah Alam. Dalam keterangannya, Dr Pornthip berkata, beliau memberikan 80% punca kematian Teoh Beng Hock adalah dibunuh dan hanya meletak 20% sahaja akibat dari membunuh diri. Dia juga berkata, tengkorak kepala Beng Hock pevah bukan kerana jatuh tetapi akibat dipukul dengan objek keras. Beliau juga berkata tanda merah ditengkok Beng Hock adalah kerana jari ketika beliau dicekik dan lubang duburnya luka akibat ditusuk dengan objek keras. Kenyataan berbeza Ketika menggulung perbahasan itu juga, Husam berkata terdapat dua perbezaan laporan media terhadap pembangunan ECER yang bakal dilaksanakan di negeri ini. Katanya, laporan di Parlimen oleh Tan Sri Mohammad Nor Yaacob, mendakwa Kelantan memberi kerjasama yang baik dengan Kerajaan Pusat dalam plan pembangunan ECER. "Namun baru-baru ini media juga telah mengeluarkan kenyataan seorang timbalan menteri dari Kelantan yang mendakwa kerajaan di negeri ini tidak memberi kerjasama untuk plan pembangunan itu,"ujarnya. Perbezaan kenyataan ini sewajarnya tidak berlaku memandangkan Kelantan memberi kerjasama yang begitu baik dengan Kerajaan Pusat demi untuk pembangunan di negeri ini. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan