KUALA LUMPUR – Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan laporan audit yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara baru-baru ini, jelas menunjukkan negeri-negeri yang ditadbir PR jauh lebih baik daripada yang diperintah Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, Selangor dan Pulau Pinang menunjukkan laporan positif dari segi pengurusan kewangan dan ini menjadi bukti pentadbiran PR telus di negeri bawah pemerintahan mereka.“Kita bangga kerana laporan ini memberi petunjuk bahawa negeri di bawah pemerintahan BN penuh dengan penyelewengan, berbanding negeri di bawah PR,” katanya kepada media di lobi Parlimen, semalam.
Katanya, PR akan menubuhkan pasukan untuk meneliti laporan audit itu sebelum mengambil langkah seterusnya.
“Kita telah bermesyuarat dua hari lepas dengan semua Ahli Parlimen PR dan seperti kenyataan pemimpin PR semalam (kelmarin), kita akan ambil langkah seterusnya,” katanya.
Kelmarin, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Phua, meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes penyalahgunaan peruntukan seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara.
Sementara itu, mengulas kenyataan Pakar Patologi dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, yang mengatakan bekas Setiausaha Politik seorang Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock, mungkin dicekik sebelum jatuh, Anwar menegaskan kenyataan itu berdasarkan fakta dan bukan isu politik.
Katanya, kenyataan tersebut tidak boleh diperlekehkan kerana beliau adalah pakar forensik terkemuka di Asia dan kenyataan tersebut berdasarkan kajian yang mendalam mengenai kes kematian tersebut.
“Saya berharap pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan yang wajar dan adil berkenaan inkues kematian ini. Saya juga berasa dukacita kepada keluarga mendiang kerana isu ini terus membelenggu mereka,” katanya.
Semalam, Dr Pornthip membuat kesimpulan bahawa kemungkinan 80 peratus Beng Hock dibunuh dan 20 peratus dia membunuh diri.
-detikdaily.net-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan