Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 19 Okt: Laporan tentang pasar Chow Kit yang kotor telah mendapat reaksi segera dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali, pegawai DBKL telah menghubungi beliau dan memberitahu Alam Flora, kontraktor yang berkaitan akan bertindak segera.
Dr Lo' Lo' pula meminta DBKL mengambil tindakan jangkapanjang dan bukannya secara ad-hoc sahaja.
Beliau yakin DBKL akan memberikan kerjasama bagi mempastikan kawasan beliau ini bersih sentiasa.
Sebelum ini, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur melakukan tindakan segera untuk membersihkan pasar Chow Kit yang terus kotor dan tidak selesai hingga kini.
Menurut beliau, pelbagai usaha telah beliau lakukan sebelum ini untuk mempasti pasar yang sangat popular khasnya di kalangan orang Melayu itu bersih, namun tidak selesai hingga kini.
Sebelum ini, beliau pernah memanggil wartawan dan jurugambar untuk mendedahkan masalah pasar itu namun ia hanya selesai sementara sahaja.
Pasar Chow Kit, yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur itu sangat terkenal dengan kepelbagaian bahan jualannya.
Pada sebelah paginya, ia terkenal dengan pasar yang menjual pelbagai jenis ikan dan sayur-sayuran serta buah-buahan serta ayam segar.
Pasar ini berpindah ke Jalan Raja Alang dengan menjual pelbagai jenis sayuran kampung dan ulam pada sebelah petang dan malamnya.
Ia sangat popular hinggakan menarik perhatian dari pelancong luar. Namun, kekotoran pasar ini banyak yang menghalang mereka datang kembali ke sini.
Selain kekotoran, masalah peniaga dari negara jiran juga menghantui pasar ini.
Ada pihak yang menyalahkan peniaga dengan tabiat pengotor dan tidak ambil berat mereka manakala para peniaga pula menyalahkan kemudahan dan sistem kebersihan yang tidak baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan