Tentera dilupakan dalam bajet 2010 / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 24 Okt:
Ketua Pembangkang di parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikai bajet 2010 yang langsung tidak diperuntukkan untuk sektor pertahanan.

Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata, inilah kali pertama pembentangan bajet yang langsung tidak menyentuh mengenai peruntukan untuk anggota tentera yang telah berkhidmat menjaga keamanan dan keselamatan negara.

Ujarnya, selepas Barisan Nasional memenangi kerusi Bagan Pinang yang majoriti pengundinya terdiri daripada anggota tentera, BN terus melupakan jasa mereka sedangkan pelbagai janji ditaburkan kepada anggota tentera sebelum pilihanraya kecil berkenaan.

"Saya agak terkejut kerana pembantangan belanjawan tidak menyebut langsung sektor pertahanan. Selepas menang di Bagan Pinang, pasukan tentera dilupakan. Baru sangat menang, terus dilupakan,"katanya kepada pemberita sewaktu mengulas pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di lobi parlimen siang tadi.

Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan bajet 2010 berjumlah RM191.5 bilion yang mengandungi tiga strategi utama iaitu memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan, serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Namun apa yang dikesalkan, bajet yang bertemakan 1Malaysia, Kemakmuran Bersama itu langsung tidak memberi penghargaan kepada golongan tentera.

"Sepanjang ingatan saya, ini kali pertama pembentangan belanjawan yang tidak menyebut dan mengucapkan penghargaan kepada anggota tentera,"ujarnya kesal.

Sementara itu, ahli parlimen Bachock, Nasharudin Mat Isa yang juga Timbalan Presiden PAS melahirkan kebimbangan mengenai cadangan kerajaan untuk membenarkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menjana hasil pendapatan sendiri agar dapat mengurangkan kebergantungan kewangan IPTA kepada kerajaan.

Apa yang dibimbangkan ujarnya, kebebasan yang diberikan kepada IPTA untuk menjana pendapatan sendiri itu akan menjejaskan fungsi IPTA untuk membangunkan modal insan.

"Universiti diberikan semacam satu kebebasan untuk menjana pendapatan, tetapi tidak disentuh dalam pembentangan itu mengenai peluang-peluang yang harus diberikan kepada universiti untuk benar-benar membangunkan modal insan."

"Saya bimbang universiti akan menjadi institusi yang hanya menjana kewangan lebih daripada institusi untuk membangunkan modal insan," katanya.

Najib dalam pembentangannya berkata, dalam usaha kerajaan memperkasakan IPTA supaya lebih berdaya sainng dan dapat meningkatkan ranking mereka berbanding universiti lain di dunia, kerajaan akan menimbangkan untuk memberi lebih autonomi dalam pengurusan kewangan, sumber manusia, pentadbiran, kemasukan pelajar dan penjanaan pendapatan.

Dengan autonomi yang bertambah ujarnya, IPTA misalnya akan dibenarkan untuk menjana hasil pendapatan melalui penubuhan anak syarikat.

"Bagi mencapai objektif ini, kerajaan sedia mempertimbangkan kelonggaran peraturan dan syarat yang menyekat IPTA menjana pendapatnnya sendiri, "katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan