"Cuma Anwar Yang Belum Hubungi Saya":Dr Asri / UBN Najib Altantuyta / Zambry / PKFZ

Mohd Sayuti Omar

TINDAKAN pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang sedang menyampaikan kuliah agama di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Ampang kemudian membawa beliau ke balai polis Hulu Klang tengah malam kemarin benar-benar menggemparkan negara.

Malam tadi semua saluran televisyen menyiarkan berita serbuan yang dianggap kurang sopan itu sebagai berita utama. Media massa cetak hari ini pula turut sama 'memainkan' kejadian

itu sebagai laporan muka depan. Dalam sekelip mata sahaja 'saham' Dr Asri naik melambung.

Sehingga kini orang ramai masih terpinga-pinga untuk mengetahui apakah tujuan dan maksud di sebalik kejadian malam tadi. Kini timbul berbagai-bagai telahan dan spekulasi termasuk juga andaian politik. Kes serbuan oleh Jais itu telah menjadi isu politik.

Sebelum ini bukan tidak ada tangkapan terhadap individu yang menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah di Selangor. Sudah banyak. Tetapi kenapa kes membabitkan Dr Asri menjadi gempar dan perhatian negara ialah kerana cara Jais membuat serbuan sampai membawa 30 orang pegawai disertai dengan berpuluh anggota polis.

Isu penangkapan Dr Asri juga turut sama diperkatakan di parlimen hari ini. Sementara Dr Asri sendiri telah dihubungi berbagai jenis orang bertanyakan keadaan beliau. Masing-masing melahirkan rasa terkejut, hairan, ganjil, pelik dan aneh dengan kejadian itu.

Saya sendiri yang terlepas berita panas ini malam tadi, mencari ruang terbaik untuk berjumpa dengan Dr Asri bagi mendapat gambaran sebenarnya. Alhamdulilah kira-kira jam 7:50 tadi (malam ini) saya berjumpa dan bersalam dengannya di rumah yang beliau digiring malam tadi di Taman Sri Ukay, Ampang, Selangor.

Bukan itu saja, Dr Asri juga sudi memberi penjelasan serta menjawab beberapa persoalan yang saya timbulkan. Rakaman perbualan saya dengan beliau dirakam oleh video. Saya juga sempat merakam audio visual percakapan beliau ketika menjawab persoalan saya. Di sini saya postkan sebahagian audio visual itu untuk tontonan penjenguk setia blog ini.

Saya tidak dapat mengulas lanjut berhubung apa yang berlaku dan menyimpulkan penjelasan atau pun pertikaian Dr Asri mengenai serbuan pihak Jais itu. InsyaAllah esok selepas membuat sedikit kajian dan tinjauan saya akan ulas dan memberi beberapa pandangan berhubung kejadian itu.

Persoalan yang berbingkai dalam kepala orang ramai ketika ini apakah kejadian itu ada motif politik? Kalau ianya bermotif politik siapakah yang memainkan peranannya dan untuk apa?

Sedangkan menurut Dr Asri dia diterima oleh semua orang dan semua parti politik. Umno, PAS, DAP, badan bukan kerajaan dan lain-lain turut atau pernah menjemput beliau memberi syarahan agama. Jika dilihat kepada undangan ini bermakna tidak ada parti politik atau pihak yang kurang senang atau irihati dengan beliau.

Sebelum saya menyarung kasut untuk pulang, Dr Asri baru hendak menjamah makan malam bersama beberapa orang sahabatnya yang juga merupakan pengikutnya. Sebagai kata-kata pengiring kepulangan saya, sekali lagi Dr Asri menjelaskan hampir semua golongan yang mengenalinya termasuk orang politik dan kedua bekas Perdana Menteri,
Abdullah Badawi dan Dr Mahathir Mohamad menghubunginya dan memberi kata-kata semangat. Katanya kedua bekas PM itu akan cuba menyelesaikan isu berkenaan dengan bertanya khabar pihak teratas mengenai hal ehwal agama di Selangor.

Cuma menurut Dr Asri seorang saja yang tidak bertanya khabar mengenainya setakat ini, iaitu
Anwar Ibrahim. "MSO seorang sahaja yang belum menghubungi bertanyakan hal saya, Anwar Ibrahim," begitulah jelasnya sambil ketawa.

"Boleh saya blogkan?" tanya saya. Dr Asri hanya mengangguk memberi keizinan. Harapnya selepas membaca catatan di blog ini, Anwar akan segera menghubungi Dr Asri untuk bertanyakan khabar dan penjelasan ringkas agar Anwar tidak akan dikelirukan berhubung insiden semalam.
[wm.kl. 10:50 pm 02/11/09]


video

http://www.msomelayu.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan